Berita Terkini

FIFA 21 Challenge Cetusan Idea Baharu KP SPRM

PUTRAJAYA, 1 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 CHALLENGE yang diadakan mulai hari ini sebagai usaha untuk menyebarluaskan mesej antirasuah di kalangan belia terutama peminat e-sukan berkenaan. 

Pertandingan secara atas talian yang dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ini merupakan pendekatan serampang dua mata kerana mesej antirasuah dan penerangan berkaitan jenayah rasuah di negara ini turut akan diselitkan sepanjang perlawanan tersebut.

Datuk Seri Azam di dalam video ucapan perasmiannya berkata, walaupun dalam keadaan penularan pandemik COVID-19, usaha pencegahan rasuah tidak harus dihentikan begitu sahaja.

"Sejajar dengan norma dan ledakan media baharu, kerjasama penganjuran program oleh SPRM dan THQ Esports Club yang buat julung kalinya diadakan menerusi platform e-sukan ini boleh digunakan sebagai salah satu medium untuk menerapkan mesej antirasuah kepada masyarakat terutamanya generasi muda kini.

"Malah, peserta SPRM FIFA 21 CHALLENGE hanya perlu berada di lokasi masing-masing tanpa bersemuka. Di samping itu, program ini mampu membantu usaha kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dalam mengekang penularan wabak Covid-19", katanya.

Tambah beliau, program ini melibatkan seramai 2,048 peserta daripada seluruh negara di mana setiap Negeri dan Wilayah Persekutuan akan disertai seramai 128 peserta bermula pada 1 hingga 16 Julai 2021. Juara bagi setiap negeri akan layak ke peringkat akhir pada 17 Julai 2021. Pemenang pertandingan bakal membawa pulang hadiah keseluruhan sebanyak RM20,000. 

Selain itu, bekas pennyerang skuad kebangsaan Harimau Malaya, Safee Sali turut mengajak masyarakat untuk menyaksikan dan menyertai pertandingan ini. Beliau menyampaikan pesanan tersebut di dalam video gimik montaj perasmian program yang juga diadakan secara maya.

SPRM FIFA 21 Challenge disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Team Haq Esports Club dan SPRM Community.


Hit : 2470