Berita Menarik

Pendakwaan pertama kes penstrukturan transaksi di negara ini

PUTRAJAYA - Seorang ahli perniagaan wanita yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didakwa di mahkamah pada Selasa atas kesalahan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi melibatkan wang berjumlah lebih RM230,000.

Wanita berusia lingkungan 50-an itu bakal menjadi individu pertama didakwa berhubung kes seumpama itu di negara ini.

Menurut sumber, wanita itu disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut kerana cuba mengelak dikesan oleh pihak bank yang perlu melaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan transaksi kemasukan atau pengeluaran wang berjumlah melebihi RM50,000 dalam sehari yang dilakukan oleh pelanggan.

Jelas sumber tersebut, pada sekitar Januari hingga Mei 2018, suspek dipercayai telah mengarahkan seorang individu mendepositkan wang ke dalam akaun perniagaannya dengan jumlah lebih kecil tidak melebihi RM50,000 secara berkali-kali pada hari sama bagi mengelak dikesan sebagai transaksi mencurigakan.

“Jumlah keseluruhan wang melebihi RM230,000 telah dimasukkan ke dalam akaun milik perniagaan suspek melalui beberapa pecahan transaksi.

“Pihak bank yang terlibat dalam menguruskan transaksi itu tidak membuat Laporan Transaksi Tunai (Cash Threshold Report-CTR) kepada pihak BNM kerana transaksi yang dilakukan secara berganda dalam hari yang sama adalah dibenarkan,” kata sumber tersebut.

Sumber itu berkata, CTR merupakan mekanisme bagi BNM memantau apa-apa transaksi tunai sama ada deposit atau pengeluaran yang dilakukan oleh mana-mana orang di bank.

"Penstrukturan transaksi atau ‘smurfing’ merupakan satu teknik yang digunakan oleh penjenayah kewangan untuk memasukkan atau mengeluarkan wang tunai hasil daripada kegiatan haram di mana-mana institusi kewangan.

“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dituduh di bawah Seksyen 4A(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Sumber memaklumkan pada Disember 2018, BNM telah meminda dan menetapkan kadar amaun CTR daripada RM50,000 kepada RM25,000 dalam satu hari yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019

Sumber : Berita Harian

Hit : 1946