SPRM Anjur Program Latihan Antarabangsa Bersama IAACA Yang Ke-2
PUTRAJAYA, 29 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan Program Latihan Antarabangsa secara bersama di antara SPRM dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) yang ke-2 selama dua hari, bermula hari ini hingga 30 Jun 2021.
Pada tahun ini, SPRM diberi penghormatan sebagai tuan rumah untuk menganjurkan program ini secara maya, di mana pertama kalinya program tersebut dilaksanakan ialah pada 24 dan 25 Mei 2019 di Ibu Pejabat Independent Commission Against Corruption (ICAC), Hong Kong.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki semasa menyampaikan ucapan aluan program menyatakan sesi latihan ini telah berjaya mengumpulkan seramai 400 peserta dari 50 buah negara yang mewakili 64 buah organisasi menerusi aplikasi 'Zoom' susulan pandemik Covid-19 yang berlaku kini.
"Berikutan penularan pandemik COVID-19, kerajaan telah mengadakan beberapa jenis kawalan pergerakan dan dengan adanya program latihan secara atas talian perkara ini dapat memberi peluang untuk peserta menimba ilmu dan meningkatkan pengetahuan kita,” ujarnya.
“Oleh sebab itulah, semasa merancang agenda program latihan sebegini, saya perlu memastikan topik yang dipilih mestilah terkini dan dapat memberi impak merangkumi skop operasi, pencegahan dan pendidikan untuk memastikan bahawa semua lapisan pegawai anti-rasuah dapat memanfaatkan program latihan tersebut.
Tambahnya, pakar-pakar yang akan bercakap dan berbincang mengenai topik ini juga dari pelbagai latar belakang seperti agensi penguatkuasaan undang-undang, pegawai kerajaan, pengawal selia, anggota akademik, pegawai pematuhan dari syarikat Fortune 500 serta wartawan pemenang anugerah dan antirasuah antarabangsa.
Selain Datuk Seri Azam, turut menyampaikan ucapan pada sesi pertama berkenaan adalah Chief of the Corruption and Economic Crime Branch, United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), Cik Brigitte Strobel-Shaw dan Secretary General IAACA, Dr. Thomas Peran.
Sebanyak enam sesi pembentangan diadakan membabitkan beberapa wakil termasuk dari Malaysia membincangkan pelbagai isu berkaitan pencegahan rasuah meliputi operasi, pendidikan dan pencegahan.
Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.