Kolumnis@SPRM

Kedai Jujur Bentuk Integriti Generasi Muda


Oleh: 

DATUK RAZIM BIN MOHD NOOR

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Penulis terkemuka British, Clive Staples Lewis (C.S Lewis) menyatakan ‘Integrity is doing the right thing even when no one is watching.’ Ia bermaksud, integriti merupakan amalan di mana  melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang memerhatikan kita.


Amalan seumpama ini perlu disemai dalam diri setiap insan sejak kecil lagi. Lebih tepat, tabiat bermoral seperti ini perlu diterapkan bermula daripada alam persekolahan lagi supaya ia menjadi pegangan hidup apabila mereka dewasa kelak, bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya.’


Menurut Oxford English Dictionary, integriti berasal daripada kata adjektif bahasa Latin ‘integer’ yang digunakan untuk menggambarkan keutuhan sesuatu struktur atau binaan (structural integrity).


Kemudiannya, sekitar tahun 1659, kosa kata ini diperluaskan penggunaannya untuk membezakan konsep benar dan salah dalam kehidupan manusia. Secara dasarnya, integriti berkait rapat dengan keperibadian seseorang.


Definisi integriti agak luas, ia boleh disifatkan sebagai kualiti kejujuran dan  prinsip-prinsip moral yang tinggi yang dipegang oleh seseorang individu.  Dalam erti kata lain, integriti bukan hanya pegangan moral yang dipercayai dan didukung oleh seseorang, malah pegangan itu dicerminkan oleh individu tersebut menerusi perbuatannya.


Tahap integriti yang tinggi akan membentuk individu yang bermoral dan yang mempunyai nilai yang tinggi. Justeru adalah penting untuk menerapkan sifat integriti sejak awal alam persekolahan lagi.


Menyedari hakikat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  memperkenalkan penubuhan konsep Kedai Jujur SPRM di 10 buah sekolah rintis dibawah seliaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu, lima buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah. Pemilihan sekolah dibuat setelah berbincang dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Rasional pemilihan kesemua 10 buah sekolah sebagai projek rintis ini adalah dengan mengambil kira komitmen pentadbir dan pihak sekolah, latar belakang murid dan liputan kawasan pemantauan oleh pihak SPRM.


Kedai Jujur SPRM merujuk kepada kedai, kios atau sudut yang beroperasi pada waktu persekolahan dan menjual barangan bersifat ‘fast moving items’ tanpa jurujual dan tidak bermotifkan keuntungan serta berlandaskan ‘experiential based learning.’  Kedai Jujur SPRM berobjektifkan mendidik dan menerapkan elemen integriti secara praktikal dalam kalangan murid-murid sekolah.


Kedai Jujur ini adalah platform yang mampu mendidik anak-anak, walaupun tiada siapa akan memaksa mereka untuk membayar dahulu sebelum mengambil barangan yang diperlukan, namun mereka tetap perlu membuat bayaran kerana itu adalah integriti.


Sekiranya tidak membuat bayaran ia boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan mencuri sebagaimana berlaku di kedai-kedai di luar kawasan sekolah.  Walaupun tiada siapa memerhatikan, namun bayaran harus dibuat ke atas barangan yang diambil. Ini merupakan didikan secara tidak langsung yang diterapkan menerusi Kedai Jujur.


Inisiatif Kedai Jujur ini adalah selaras dengan inisiatif 2.4.6 dan 2.4.11 Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 iaitu memperkukuhkan pendidikan diperingkat sekolah rendah dan menengah yang berteraskan kepada pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh.


Selain itu, konsep Kedai Jujur juga memupuk nilai murni berintegriti dalam kehidupan seharian dan menghayati nilai-nilai jujur, amanah dan tidak mengambil hak orang lain. 


Usaha ini dimulakan SPRM pada tahun 2020 namun tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun itu disebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.  Namun, setelah sesi persekolahan mula dibuka pada tahun ini, Kedai atau Kios Jujur di kesemua 10 buah sekolah berkenaan akan mula beroperasi seperti biasa. 


Dalam pada itu, 10 buah sekolah baharu akan dipilih dalam pelaksanaan Projek Kedai Jujur SPRM Fasa 2. Pemilihan sekolah akan diputuskan menerusi Mesyuarat Penyelarasan bersama SPRM, BSKK dan KPM. 


Inisiatif yang diambil SPRM dalam melaksanakan program Kedai Jujur sudah tentu menjadi satu platform efektif dalam melahirkan generasi mendatang yang akan berpegang pada prinsip integriti. Dengan berpegang kepada integriti, generasi ini sudah tentu tidak mudah terjebak dengan perkara negatif. 


Ini kerana apabila kita sudah mula mendedahkan perkara yang benar sejak mereka kecil, sudah tentu mereka tidak akan memilih jalan yang salah apabila sudah dewasa, sebagaimana yang ditekankan menerusi pepatah yang berbunyi ‘biasakan yang betul, betulkan yang biasa’.


Natijahnya, persekitaran pendidikan seharusnya memainkan peranan penting dalam membentuk individu sempurna yang kaya dengan nilai moral dan berintegriti. Ini kerana generasi muda hari ini adalah golongan nakhoda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.


Justeru, golongan ini perlu diasah dengan memberi didikan yang baik dan bermoral berlandaskan integriti. Adalah agak mudah untuk golongan muda terjerumus dijalan yang tidak betul, tetapi untuk membentuk mereka ke arah jalan yang benar adalah penuh dengan cabaran. Namun cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak menunjukkan laluan yang betul buat mereka.


Perlu juga diingat bersama bahawa, tugas untuk mendidik anak-anak supaya berpegang kepada integriti tidak harus diserahkan sepenuhnya pada SPRM malah adalah menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu memperkasa serta membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan masa depan generasi muda terus terjamin dan utuh.


Hit : 3331