Berita Menarik

Projek RM135 juta: Lagi pegawai perolehan ditahan SPRM

Kuala Lumpur: Seorang pegawai di bahagian perolehan sebuah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.

Menurut sumber, kes itu adalah susulan siasatan yang dilakukan terhadap Penolong Setiausaha Bahagian kementerian itu dan pemilik serta pengurus syarikat yang ditahan sejak 21 Jun lalu.

"Hasil siasatan berjaya membongkar kegiatan sindiket ini yang dipercayai sudah membolot 22 projek berjumlah RM135 juta di kementerian berkenaan sejak 2017 hingga kini. Ini termasuk projek berkaitan penahanan suspek pada hari ini.
"Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek berkenaan," katanya.

Menurut sumber itu, bagi projek bernilai kira-kira RM2.6 juta itu, ia adalah projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi penguat kuasa.

"Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut," katanya.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan berkenaan pagi ini.

Pada 21 Jun lalu, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin di agensi penguat kuasa sama yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Susulan itu, seorang penolong setiausaha bahagian kementerian ditahan pada keesokan harinya dan diikuti penahanan seorang pengurus syarikat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Harian Metro


Hit : 1731