Berita Menarik

Pemilik syarikat bergelar Datuk, adiknya didakwa beri dokumen mengandungi butiran palsu

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat bergelar Datuk dan adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit lebih RM1.57 juta, dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi, Datuk Mohd. Farid Mohamad Ali, 42, dan adik lelakinya, Mohd. Fadhil, 38, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Mohd. Farid didakwa telah memberikan suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak
Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020.

Dokumen itu diberikan kepada tiga orang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang mana tertuduh tahu bahawa penjualan minyak masak itu sebenarnya tidak dibuat yang kesemuanya bernilai RM1.57 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat bahagian Subsidi dan Bekalan, Cawangan Analisa Perakaunan Industri, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP, Putrajaya, antara Januari 2019 hingga Mac 2020.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Mohd. Farid mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan pilihan iaitu telah memalsukan invois dan dokumen penghantaran yang terkandung dalam Pernyata Tuntutan Bayaran Kewangan kepada kilang sama dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan untuk tujuan menipu yang dilakukan pada tempat dan tarikh serta jumlah yang sama.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Mohd. Farid juga turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima wang berjumlah RM192,433 daripada akaun Hong Leong Bank milik KPDNHEP yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun Bank Islam milik Syarikat Temasek Growth Sdn. Bhd. yang mana dia merupakan pengawal akaun syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Menara Bank Islam Kuala Lumpur antara 19 Mac hingga 19 Oktober 2019.

Dia didakwa dibawah Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama dengan subseksyen 87(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Hukuman bagi subseksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu Mohd. Fadhil pula didakwa atas 52 pertuduhan bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan sama, di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan jika sabit kesalahan.

Mohd. Fadhil juga turut mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan pilihan iaitu telah bersubahat dengan Mohd. Farid untuk melakukan kesalahan memalsukan dokumen sama mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 107 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi serta Maziah Mohaide manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin dan Keshvinder Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Farid diikat jamin RM150,000 bagi kesemua pertuduhan dan RM100,000 terhadap Mohd. Fadhil.

Tarikh 1 september ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.


Hit : 2935