Kes-kes Menarik

Sarjan polis direman kes rasuah RM31,000

GEORGETOWN: Anggota polis berpangkat Sarjan di reman selama enam hari bermula hari ini hingga 30 Jun ini bagi membantu siasatan kes rasuah sebanyak RM31,000.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret R. Manomani di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, anggota polis yang bertugas di ibu pejabat polis daerah Kulim, Kedah itu ditahan selepas menerima wang berjumlah RM10,000 dalam satu operasi yang dijalankan oleh SPRM semalam.

Wang itu diminta dan diterimanya sebagai dorongan untuk menutup siasatan kes penipuan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Siasatan lanjut juga mendapati suspek disyaki meminta wang sebanyak RM15,000 bagi menutup siasatan kes itu dan sudah menerima sebanyak RM6,000 daripada mangsa sebelum ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Tertuduh diwakili peguam Cheah Eng Soon.

Sumber : Utusan

Hit : 383