Kolumnis@SPRM

Fahami Ketelusan SPRM Dipantau Lima Panel Bebas


Oleh :

DATO’ SRI SHAMSHUN BAHARIN BIN MOHD JAMIL

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia



Keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mata masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi, apatah lagi masyarakat sekarang ini, lazimnya lebih cenderung menilai keberkesanan tersebut berdasarkan persepsi, bukannya realiti.

 

Masyarakat hanya akan meyakini keberkesanan tindakan SPRM apabila mereka benar-benar percaya dengan kewibawaan serta integriti yang ada pada Suruhanjaya berkenaan.

 

Maka, usaha kerajaan meletakkan SPRM sebagai entiti bebas merupakan satu langkah yang tepat di mana perubahan yang cukup besar dalam sejarah agensi berkenaan yang ditubuhkan pada 1967 bagi meningkatkan keberkesanannya.


Pada 2009, SPRM yang sebelum itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah diubah daripada sebuah organisasi yang dianggap kurang telus kepada sebuah agensi yang cukup telus.


Kini, tidak keterlaluan jika dikatakan SPRM merupakan satu-satunya institusi kerajaan yang mempunyai dan memperlihatkan ketelusan tertinggi dalam negara ini dengan adanya lima panel bebas yang memantau perjalanan SPRM yang merupakan sesuatu yang cukup unik.


Pembentukan mekanisme ‘semak dan imbang' ini secara tidak langsung membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan SPRM dalam pelaksanaan kewajipan fungsinya mengikut undang-undang yang ditetapkan.


Namun begitu, apa yang kurang memuaskan, setelah lebih sedekad, isu ketidakfahaman serta persepsi negatif masyarakat yang menganggap SPRM masih memilih bulu atau tidak telus dalam penyiasatan masih lagi kedengaran.

 

Sebenarnya, jika kita teliti satu persatu fungsi kesemua entiti ini, jelas sekali objektif pembentukannya akan dapat menangkis persepsi negatif terhadap SPRM.

 

Yang pertama, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) merupakan panel penasihat yang bertanggungjawab menasihati daripada segi dasar dan perjalanan SPRM.

 

Ahli-ahli LPPR ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan individu yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.

 

LPPR terdiri daripada tujuh individu, memberi pandangan dan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya dari semasa ke semasa, mereka ini bermesyuarat setiap bulan dan SPRM akan membentangkan laporan bulanan kepada mereka.

 

Mereka juga boleh memberi nasihat kaedah mengenai kerja-kerja SPRM selain meneliti laporan tahunan Suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada Jawantankuasa Khas Mengenai Rasuah.


Panel kedua ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang melihat pencapaian SPRM sepanjang tahun dan membentangkan serta memberi nasihat kepada Perdana Menteri tentang prestasi SPRM pada tahun yang berkenaan.

 

JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694). Ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti pemerintah dan pembangkang.

 

Peruntukan seksyen tersebut juga menetapkan tidak ada seorang pun Anggota Pentadbiran boleh dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas ini.

 

Jawatankuasa ini akan mendapatkan maklumbalas daripada SPRM untuk mengetahui apa sahaja, sama ada tahap siasatan atau proses yang digunakan berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh SPRM.

 

Apa yang ditanya selalunya berdasarkan komen masyarakat. Tiada perbuatan melindungi mana-mana pihak. Jika ada kelemahan yang dikesan, mereka akan memberi cadangan untuk diperbaiki.

 

Panel ketiga ialah Jawatankuasa Aduan (JKA) yang memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM yang tidak bersifat jenayah.

 

Mereka juga berperanan meneliti jenis kesalahan yang dilakukan oleh pegawai SPRM serta mencadangkan langkah-langkah meningkatkan kecekapan dan kebolehan pegawai melaksanakan tugas.

 

Seterusnya, panel keempat merupakan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang menasihati tentang aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat SPRM.

 

PPPR diwujudkan secara pentadbiran dan dianggotai oleh individu yang dilantik oleh Perdana Menteri mewakili pelbagai kumpulan masyarakat seperti ahli akademik, dewan perniagaan, pakar media, aktivis sosial dan pertubuhan yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah dipelbagai sektor.

Panel terakhir pula ialah Panel Penilaian Operasi (PPO) yang memantau kes-kes SPRM termasuk memberi pandangan untuk sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan SPRM.

 

Selepas mereka berpuas hati barulah kes itu akan ditutup. Jika mereka berpandangan bahawa kes itu masih boleh dibawa ke mahkamah, maka mereka akan menasihati SPRM dan memohon Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya untuk melihat semula kes tersebut dan memanjangkan siasatan.

 

Jika kita melihat kepada kes terbaharu pada 15 Jun 2021 baru-baru ini, yang mana SPRM telah mengheret seorang pegawainya ke mahkamah atas kesalahan bersubahat meminta rasuah berjumlah RM100,000, maka di sini kita boleh merumuskan bahawa fungsi dan peranan panel bebas ini memang benar-benar berkesan.

 

Tiada ruang untuk menyorok apa jua kesalahan dalam mana-mana siasatan termasuk yang dilakukan oleh pegawai SPRM sendiri, malah siasatan dilakukan secara telus dan profesional hasil pemantauan panel bebas berkenaan.

 

Kesimpulannya, kewujudan kesemua panel bebas yang bukan daripada pegawai kerajaan ini juga, boleh dikategorikan sebagai wakil kepada rakyat bagi memantau SPRM dari semasa ke semasa.

 

Pendek kata, jika masyarakat faham akan struktur dan tugas SPRM ini, pasti keyakinan mereka terhadap keberkesanan tindakan SPRM akan meningkat.

 

Oleh itu, janganlah beranggapan masyarakat hanya perlu menjadi pemerhati dan menggunakan platform media sosial sebagai medan untuk menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan terhadap isu rasuah serta siasatan dan prosiding mahkamah.

 

Ini kerana, hanya dengan sokongan dan kerjasama masyarakat kepada SPRM, negara dapat dibebaskan daripada cengkaman jenayah rasuah. Kebersamaan semua pihak daripada semua sektor amat diperlukan untuk menjayakan matlamat ini.

 

Setiap individu perlu berusaha dan memainkan peranan masing-masing untuk membasmi rasuah. Niat dan usaha bersama seperti ini sahaja mampu melindungi negara daripada ancaman rasuah.


Hit : 1038
Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi | 

Warga SPRM