Berita Menarik

Empat termasuk penjawat awam ditahan rasuah peroleh projek RM42 juta

PUTRAJAYA- Empat individu termasuk seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah kementerian ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung isu tender pembekalan untuk sebuah agensi penguat kuasa yang bernilai RM42 juta.


Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.


Kesemua suspek yang berusia lingkungan 32 hingga 61 tahun itu telah direman selama enam hari bermula hari ini.


Difahamkan kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.


Terdahulu keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pukul 10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM diiringi pegawai SPRM.


Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan membayar rasuah sebanyak lima peratus daripada nilai projek berdasarkan tuntutan kemajuan bagi memperoleh tender perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos saman sebuah agensi penguat kuasa yang bernilai RM42 juta.


“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya. 


Sumber : K! ONLINE


Hit : 2803