Kes-kes Menarik

Timbalan Presiden Kanan syarikat kejuruteraan didakwa perdaya syarikat minyak dan gas

Seorang berhadapan timbalan presiden kanan di sebuah syarikat kejuruteraan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdaya dan menipu sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka, untuk menyenaraikan syarikatnya sebagai sebuah syarikat berkelayakan dan berstatus Bumiputera, tiga tahun lalu.

Tertuduh Ahmad Hatta Kamaruzzaman, 50, yang juga Ketua Aker Engineering Malaysia mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Ahmad Hatta didakwa sebagai ejen kepada syarikat Kumpulan Aker Solutions, secara niat telah mengemukakan dokumen bagi maksud untuk memperdaya sebuah syarikat minyak dan gas.
Ia bagi menyenaraikan syarikat Aker Engineering Malaysia sebagai sebuah syarikat berkelayakan dan berstatus Bumiputera, sedangkan tertuduh mengetahui bahawa syarikat itu (Aker Engineering) bukanlah berstatus Bumiputera.

Oleh itu, tertuduh telah menipu dengan menyembunyikan fakta sebenar pemilikan saham syarikat tersebut, yang mana berkepentingan benefisiari sebenar adalah syarikat Kumpulan Aker Solution.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sini (Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur) pada 7 Ogos 2018, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan wang jaminan antara RM10,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin dan jumlah jaminan itu tidak dibantah oleh peguam S.Devanandan, yang mewakili Ahmad Hatta.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sumber : Astro Awani
Hit : 151