Berita Menarik

Terima rasuah RM1,000, polis berpangkat koperal didakwa di mahkamah

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,000.

Sogokan itu dipercayai bagi menyelesaikan kes menggajikan tiga warga Bangladesh yang tidak mempunyai permit kerja yang sah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shamsudin Abd Aziz, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Bagi pertuduhan utama, Shamsudin yang bertugas di Balai Polis Tanjung Ipoh di Kuala Pilah didakwa telah secara rasuah memperoleh wang berjumlah RM1,000 melalui pindahan akaun bank daripada Mohammad Arif Mohd. Hashim yang menggajikan tiga orang pekerja Bangladesh yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Difahamkan, wang itu sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang tidak dikenakan ke atas lelaki tersebut.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 4.58 petang di Malayan Banking Berhad di Jalan Besar Bahau, Bahau pada 24 Ogos 2018.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, di lokasi dan masa yang sama, tertuduh didakwa menerima satu benda berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM1,000 daripada individu sama melalui pindahan wang di akaun bank milik tertuduh di mana dia mengetahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Sehubungan itu pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Mahkamah menetapkan kes tersebut disebut semula pada 12 Julai ini.

Sumber : Utusan


Hit : 2701