Berita Menarik

Pengarah zon maritim didakwa terima rasuah RM10,000

JOHOR BAHRU: Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000, tahun lalu.

Mohd. Zulfadli Nayan, 40,  mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh berpangkat Kepten Maritim Gred T22 didakwa menerima suapan wang tunai  RM10,000 daripada seorang individu di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal di sini pada pukul 10 malam, 2 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa menggunakan jawatannya untuk tidak mengambil tindakan ke atas siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn. Bhd. yang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekalim jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin  RM7,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun manakala tertuduh diwakili peguam, Fazaly Ali.

Sementara itu, seorang pegawai Maritim Malaysia juga tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan keseluruhan  RM5,800 tiga tahun lalu.

Alias Jaafar, 58, didakwa menerima suapan daripada individu sama bagi mempercepatkan pemeriksaan terhadap kapal-kapal milik individu berkenaan.

Alias didakwa melakukan perbuatan itu di dua bank  di Jalan Skudai dan Jalan Wong Ah Fook, di sini, antara 6 April 2019 hingga 30 Julai tahun lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Hamizi Mohd. Yusof diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.- UTUSAN

Hit : 1914