Berita Menarik

Pegawai perikanan didakwa rasuah

Kota Bharu: Pegawai Perikanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan mendapat suapan berjumlah RM31,425 daripada syarikat milik adik iparnya, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Rafi Hasan, 56, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Negeri Kelantan didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan pesanan kerajaan kepada YY Indah Enterprise yang dimiliki adik iparnya bagi membekal dan menghantar benih 1,000 ekor ikan kerapu hibrid bernilai RM6,900 pada 22 Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mendapatkan suapan meluluskan pesanan kerajaan atas nama pembekal yang sama bagi membekal dan menghantar hormon pembiakan ikan ke Pusat Pengembangan Akuakultur Machang dengan nilai RM7,500, pada 31 Januari 2019.

Pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa mendapatkan suapan meluluskan pesanan kerajaan atas nama pembekal yang sama bagi membekal makanan hidup kepada rega ikan ternakan (artemia) bernilai RM15,800 pada 27 Mac 2019.

Pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa mendapatkan suapan meluluskan pesanan kerajaan kepada pembekal yang sama bagi membekal hormon overprim kepada penternak ikan air tawar bernilai RM725 pada 4 April 2019 serta makanan ikan kepada penternak ikan hiasan di Kota Bharu bernilai RM500 pada 16 April 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Hamizah Ghazali memohon tertuduh dijamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela, Cheah Poh Loon yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh akan hadir melaporkan diri di pejabat SPRM setiap 1 haribulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dan menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber : Harian Metro



Hit : 2148