Berita Terkini

KP SPRM Beri Ucaptama Program World Bank

Putrajaya, 19 Mei - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki telah dijemput oleh World Bank untuk menyampaikan ucap tama sempena Majlis Pelancaran Laporan Global Peringkat Rantau Asia Timur dan Pasifik bagi World Bank yang bertajuk 'Meningkatkan Keberkesanan Dan Ketelusan Kerajaan: Perjuangan Menentang Rasuah'. 

Datuk Seri Azam dalam ucapannya menyatakan pandemik Covid-19 melahirkan cabaran baru di mana usaha-usaha untuk menyampaikan pakej rangsangan ekonomi dan pembelian peralatan fasiliti perubatan dengan segera telah membuka peluang berlakunya unsur rasuah dalam prosesnya. 

“Kerjasama antarabangsa yang meliputi negara, institusi dan masyarakat amat diperlukan terutamanya ketika dunia berdepan dengan wabak ini,“ katanya. 

"Justeru, usaha mencegah rasuah perlu diberi perhatian supaya masyarakat antarabangsa akan memberi kerjasama dalam memerangi jenayah rasuah demi kepentingan semua," tambahnya lagi.

Ucapan beliau kemudiannya disusuli dengan sesi perbincangan ahli-ahli panel yang mewakili negara Mongolia, Indonesia dan FIlipina dengan penglibatan Penasihat Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. 

Program ini juga menjadi platform kepada para peserta dari pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman mengenai usaha-usaha pencegahan rasuah, dan dalam masa yang sama dapat menyebarluaskan amalan baik dalam organisasi masing-masing untuk percambahan idea dan penambahbaikan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamaruddin M Ripin.

Hit : 2331