Berita Terkini

JKKN, SPRM anjur 3 program kesenian sebar luas mesej antirasuah

Kuala Lumpur, 4 Mei - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan tiga program kesenian bertemakan antirasuah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk memerangi jenayah rasuah di negara ini.


Penganjuran ketiga-tiga program tersebut merupakan lanjutan daripada kejayaan penganjuran Pertandingan Dikir Barat ‘Tak Nak Rasuah’ yang diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Negeri Kelantan pada 27 April 2019, hasil kerjasama antara kedua-dua pihak.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, dengan penganjuran ketiga-tiga program tersebut, SPRM berharap mesej antirasuah dapat disebar secara meluas melalui aktiviti kebudayaan supaya penggiat dan peminat seni dapat menghayati serta mengamalkan nilai-nilai integriti dan menolak aktiviti rasuah.


"Ketiga-tiga program tersebut akan diadakan pada Jun dan September ini masing-masing di Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.


“Program pertama yang akan dijalankan ialah Kolokium Antirasuah ‘Adat Pepatih Melingkari Hidup Berintegriti’ yang bakal berlangsung pada 26 Jun depan di Auditorium Kompleks JKKN Negeri Sembilan.


“Bagi program kedua dan ketiga pula, iaitu Pertandingan Battle Of The Bands ‘Tak Nak Rasuah’ dan Pertandingan Dondang Sayang Pantun Bertema Antirasuah, kedua-duanya akan diadakan pada 4 September dan 25 September depan masing-masing bertempat di Auditorium Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Selangor dan Panggung Seri Kompleks JKKN Negeri Melaka.


Beliau berkata demikian pada Sidang Media Program Kerjasama Strategik JKKN dan SPRM Tahun 2021 di Auditorium JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.


Tambah beliau, pendekatan tersebut juga dilihat dapat menjadikan seni budaya sebagai medium yang berkesan dalam mendidik serta mendapatkan sokongan masyarakat dalam usaha memerangi gejala rasuah.


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin dan Pengarah-pengarah SPRM Negeri yang terlibat.


Hit : 2047