Berita Terkini

JAKIM lancar OACP elak kakitangan terjebak rasuah

Putrajaya, 3 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 dengan fokus meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti dalam kalangan kakitangan jabatan berkenaan.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Zulkifli berkata inisiatif ini merupakan satu langkah yang cukup penting dalam mempertingkatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah.

“OACP merupakan suatu kerangka perancangan lengkap serta menyeluruh yang dibangunkan selaras dengan penggubalan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 - 2023. Pelan ini merupakan dokumen utama yang memaparkan komitmen seluruh warga perkhidmatan awam untuk menghapuskan amalan rasuah dan salah laku integriti dalam jabatan.

“Elemen integriti perlu ada dalam sistem tadbir urus dan perlu dipatuhi sepanjang masa oleh semua kakitangan,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.

Tambah beliau juga, JAKIM sentiasa bersedia menjadi 'frontliners' dalam menunjukkan teladan yang baik, menjunjung tinggi sifat amanah, ketelusan dan nilai integriti dalam segala urusan dan tindakan.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM, KPKPj Nurahim Abd Rahim.


Hit : 394