Berita Terkini

Penjawat Awam Berperanan Banteras Rasuah

PUTRAJAYA, 30 APRIL - Budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam negara ini belum diibaratkan sebagai pandemik namun isu ini ternyata serius dan membimbangkan.

Berdasarkan statistik tangkapan SPRM dari tahun 2015 hingga 2020, sebanyak 5,652 tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus adalah terdiri daripada penjawat awam. Sementara itu, sejumlah 1,347 adalah terdiri daripada masyarakat awam dan lain lain.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, statistik tersebut menunjukkan potensi penjawat awam terlibat dalam isu rasuah ini adalah tinggi.

“Pada pendapat saya, isu rasuah perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh. Sekiranya gejala rasuah ini tidak dibendung ia boleh menyebabkan perkara tersebut semakin berlanjutan menjadi pandemik dan mendorong ke arah ‘high level’.

“Oleh itu, dalam melaksanakan tugas, perkara penting yang perlu diamalkan ialah kita perlulah mempunyai sikap yang berintegriti supaya tidak wujud peluang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu bagi menjadikan negara ini sentiasa bebas daripada amalan rasuah. Ini adalah kerana ianya turut memberi kesan kepada Malaysia untuk mencapai taraf negara maju lebih awal daripada sasaran.

Oleh yang demikian, beliau memerlukan sokongan dan penglibatan menyeluruh oleh semua pihak membabitkan semua lapisan masyarakat terutamanya di dalam perkhidmatan awam untuk membanteras gejala rasuah sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu jemputan bagi Seminar Sempena Sambutan Hari Pekerja 2021 dengan tajuk ‘Peranan Penjawat Awam Menangani Rasuah anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang diadakan secara maya di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Presiden CUEPACS, Tuan Hj Adnan Mat; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, KPKPj Mohamad Tarmize Abdul Manaf mewakili Pengarah PenMas.


Hit : 4326