Berita Menarik

Koperal, Inspektor didakwa minta suapan lindungi kegiatan jual air ketum

Dua polis termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan meminta suapan bagi melindungi kegiatan penjualan air ketum lima tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Koperal Mohamad Faizal Hashim, 35 dan Inspektor Syed Amir Syed Kamarul Baharim, 37 selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Faizal dan Syed Amir yang kononnya bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, didakwa secara rasuah meminta suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1,500 daripada ejen provokasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika itu menggunakan nama Faizal Rahim sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan penjualan air ketum yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Mashitah Tomyam di Kepala Batas kira-kira jam 8.30 malam pada 23 Julai 2016.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 649) yang dibaca bersama Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini dan manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing iaitu Amrick Singh Sandu dan CP Ang.

Terdahulu, Selvaranjini meminta setiap tertuduh ditawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 berikutan kesalahan yang serius dilakukan mereka.

Namun, kedua-dua peguam tertuduh memohon kepada mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan terhadap anak guam mereka.

Hakim kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000, selain perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Sementara itu, di mahkamah sama, Mohamad Faizal juga mengaku tidak bersalah ke atas empat pertuduhan meminta rasuah keseluruhan berjumlah RM3,500 dari ejen provokasi SPRM dalam kejadian pada 25 Julai 2016 hingga 6 September 2016 di antara jam 2.05 petang hingga jam 6 petang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Faizal didakwa sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu anggota polis yang kononnya bertugas di IPK Pulau Pinang secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri satu suapan iaitu wang tunai daripada ejen provokasi SPRM sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melakukan satu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya dengan melindungi penjualan air ketum.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kepala Batas dan tiga kedai makan sekitar Kepala Batas dan Bukit Mertajam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kes itu dikendalikan Selvaranjini dan Siti Mastura Zakaria yang mencadangkan kepada mahkamah supaya wang jaminan tertuduh ditetapkan sebanyak RM20,000, selain melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Amrick Singh yang mewakili tertuduh kemudian memohon wang jaminan RM1,000 setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya sudah dikenakan wang jaminan RM8,000 untuk pertuduhan bersama.

Hakim menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes disebut semula pada 28 Mei hadapan untuk serahan dokumen.

Sumber : Harian Metro



Hit : 2178