Berita Terkini

Kerjasama SPRM, JAKIM Tangani Isu Rasuah

PUTRAJAYA, 26 APRIL - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menzahirkan hasratnya untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras jenayah rasuah di negara ini.

Perkara tersebut dinyatakan ketika Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah (KP) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini, hari ini.

Datuk Seri Azam Baki berkata, JAKIM dan SPRM perlu mempunyai kebersamaan dalam memainkan peranan yang penting bagi menghindari kegiatan rasuah.

"Baru-baru ini kita didedahkan dengan isu kartel yang mendalangi penyeludupan daging import termasuk diragui status halal dan kualitinya. 

"Saya mencadangkan supaya pihak JAKIM dapat memberi penerangan kepada pegawai kami berkaitan pensijilan halal supaya dapat memahami proses dan maklumat tersebut dengan lebih jelas," katanya. 

Tambah beliau, SPRM bersedia menganjurkan aktiviti-aktiviti secara bersama agar dapat menerapkan agenda pencegahan rasuah serta elemen Islam sebagai garis panduan kedua-dua pihak.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor.


Hit : 1810