Berita Terkini

SPRM Terima Kunjungan Hormat UUM

Putrajaya, 23 Apr - Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Pelbagai isu telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut antaranya kerjasama UUM dan SPRM dari segi pembangunan modul-modul bagi membentuk masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi dan membenci rasuah.

Selain itu, UUM turut bercadang untuk menjalankan kajian berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di mana hasil kajian tersebut boleh dijadikan medium dalam menambah baik perkhidmatan sektor awam pada masa akan datang khususnya dalam usaha memerangi jenayah rasuah.

Pertemuan selama sejam itu juga merupakan platform bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi dan menyebar luas amalan baik dalam organisasi masing-masing terutamanya melibatkan soal integriti.

Hadir sama Pengarah Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG) UUM, Prof Dr Kamarun Nisham Taufil Mohd; Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial UUM, Dr Norruzeyati Che Mohd Nasir dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor.

Hit : 1748