Berita Menarik

Penyelia asrama buat tuntutan palsu RM20 juta direman

Seorang penyelia asrama sebuah sekolah berasrama di Kota Tinggi, Johor direman enam hari bermula hari ini, kerana membuat tuntutan palsu bagi kontrak pembekalan makanan pelajar sekolah berkenaan bernilai RM20 juta.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Izzaty Mohammad Zahari, selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, pagi tadi.

Suspek seorang wanita berusia 40 tahun itu bertugas sebagai penyelia di sekolah berkenaan ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 10 malam tadi, bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan mendapati suspek bersubahat dengan beberapa syarikat kontraktor dengan membuat tuntutan berhubung kontrak pembekalan makanan bermasak untuk pelajar.

"Ia adalah kontrak pembekalan bagi tahun 2015, 2018 dan 2020 dengan tuntutan hampir RM20 juta yang mana pembekalan makanan berkenaan meragukan," kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM, Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan permohonan reman berkenaan susulan penangkapan suspek.

"Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun," katanya.

Sumber : Berita Harian


Hit : 2462