Berita Menarik

Inspektor dituduh terima suapan RM6,200

AYER KEROH: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan menerima rasuah RM6,200 dengan tujuan menyelesaikan kes berkaitan daun ketum dan rokok seludup, dua tahun lalu.

Kalvinderjit Singh, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Kalvinderjit yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada Mohd Haddafi Mokhtar Ruzaini bagi menyelesaikan kes rokok seludup.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di IPD Jasin antara jam 11.30 malam hingga 2 pagi pada 8 dan 9 Mac 2019.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM1,200 daripada Mohd Haddafi bagi menyelesaikan kes daun ketum pada masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stok.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 terhadap kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, usaha jurugambar untuk merakamkan foto tertuduh tidak berhasil selepas dihalang beberapa individu, dipercayai anggota polis berpakaian biasa seolah-olah mahu melindungi wajah tertuduh daripada dirakam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan difahamkan siasatan dalaman akan dilakukan segera bagi mengesan sama ada individu berkenaan anggota polis atau sebaliknya.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2017