Berita Terkini

Institusi kewangan, insurans main peranan hindari rasuah

KUALA LUMPUR 20 Apr. - Institusi kewangan dan insurans perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyedarkan masyarakat khususnya pelanggan dalam industri tersebut bagi menghindari kegiatan rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, kerjasama semua pihak secara rapat perlu diteruskan bagi mencapai misi, visi dan matlamat yang telah ditetapkan.

“Saya mengucapkan syabas kepada barisan kepimpinan dan seluruh warga Allianz Malaysia kerana menyahut seruan kerajaan dan SPRM dalam usaha memerangi jenayah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran #RasuahBusters bersama Allianz Malaysia serta majlis berbuka puasa di sini, semalam.

Tambah beliau, pihaknya amat menghargai komitmen dan keprihatinan Kumpulan Karangkraf dalam menggerakkan gerakan #RasuahBusters yang dilihat sebagai gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), Zakri Khir dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.


Hit : 1769