Kolumnis@SPRM

Kilang Haram : SPRM Syor Penambahbaikan Kepada MBSP

KPKPj Nazli Rasyid Sulong
Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Pada Ogos 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar kegiatan sebuah kilang haram memproses habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menimbulkan masalah pencemaran kepada penduduk setempat.

Kilang yang dikatakan kebal ini telah beroperasi sejak lebih 10 tahun dan tidak pernah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Maka timbul persoalan siapakah yang membenarkan serta melindungi pengoperasian kilang berkenaan dijalankan di kawasan terbabit selama tempoh itu.

Lebih panas, apabila kewujudan dan perlindungan kilang berkenaan dikaitkan juga dengan penglibatan ahli politik.

Namun persoalan tersebut terjawap apabila SPRM membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap tatacara kerja dan prosedur di MBSP.

Hasil pemeriksaan mendapati isu tersebut berpunca daripada tiada garis panduan yang jelas berhubung pelaksanaan konsep penguatkuasaan berhemah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Ketika itu, MBSP mengamalkan penangguhan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pengusaha kilang, penjaja, peniaga ataupun pemilik bangunan sekali gus memberikan masa dan ruang kepada mereka untuk memohon kelulusan.

Penggunaan budi bicara dalam membuat keputusan oleh pegawai MBSP menyebabkan berlakunya permasalahan terbabit. Perkara tersebut bukan sahaja boleh membuka ruang dan peluang berlakunya rasuah serta salah guna kuasa, malah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat umum.

Selain itu, semakan yang dilakukan SPRM mendapati prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan seperti penguatkuasaan terhadap binaan tanpa kebenaran serta pemeriksaan terhadap lesen premis perniagaan dan hiburan tidak mempunyai tempoh yang khusus untuk melaksanakan sesuatu proses.

Tugasan tersebut dilaksanakan oleh dua bahagian di MBSP iaitu Direktorat Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan kerana bahagian-bahagian tersebut menjalankan pemantauan di tapak selepas menerima laporan dan aduan.

Sehubungan itu, SPRM telah mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada MBSP.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan garis panduan yang jelas berhubung pelaksanaan dasar pengkuatkuasaan berhemah dan garis panduan penggunaan budi bicara dalam membuat keputusan penangguhan.

SPRM turut mencadangkan penambahbaikan SOP penguatkuasaan dengan menetapkan tempoh masa untuk sesuatu proses termasuklah menetapkan tempoh masa untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan dari tarikh kelulusan diberi.

Syor penambahbaikan yang diberikan kepada MBSP itu disambut baik dan disusuli dengan tindakan-tindakan penguatkuasaan yang berpandukan saranan daripada SPRM bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan mencapai kecekapan tertinggi.

Perubahan yang dilakukan dalam tempoh kurang daripada setahun terhadap SOP baharu itu memberikan kesan yang positif kepada MBSP yang dinaik taraf daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya pada 16 September 2019.

Ternyata khidmat nasihat yang dilakukan oleh SPRM ini diakui berjaya menyelesaikan isu kilang haram tersebut dan kini bangunan berkenaan tidak lagi berada di kawasan terbabit selepas diarahkan berpindah keluar daripada negeri Pulau Mutiara itu.

PBT tersebut juga menjadikan SOP baharu yang disarankan oleh SPRM sebagai penanda aras kepada setiap pegawai untuk mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut tempoh yang ditetapkan.

MBSP juga mengakui khidmat nasihat dan cadangan yang diberikan oleh SPRM amat membantu dalam menambahbaik dan menangani kelompangan pada satu-satu proses kerja yang membuka peluang untuk aktiviti rasuah. Saranan daripada SPRM juga dipraktikkan oleh PBT tersebut dalam membasmi penyalahgunaan kuasa agar rakyat menerima perkhidmatan yang telus dan bersih.

MBSP bukan sahaja mengikuti penambahbaikan yang disarankan oleh SPRM, malah turut mengambil langkah-langkah proaktif yang lain dalam usaha menerapkan budaya integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan warga agensinya.

Antara langkah yang diambil oleh MBSP ialah menubuhkan Unit Integriti di bawah Jabatan Khidmat Pengurusan, menyediakan Pelan Antirasuah MBSP 2021-2025, melaksanakan Bulan Integriti pada November setiap tahun, menandatangani Janji Warga PBT Perangi Pemberi Rasuah pada 3 Disember tahun lalu sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) dan melaksanakan Bussiness Process Reengineering (BPR) dan Bussiness Process Improvement (BPI) terhadap proses kerja yang berpotensi tinggi berlakunya amalan rasuah dengan menghapuskan peringkat kerja yang tidak berkaitan bagi mempercepatkan proses kerja tersebut.

Dalam masa sama juga, MBSP telah memperoleh sijil ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) daripada SIRIM Berhad dan menjadi agensi kerajaan pertama memperoleh persijilan kualiti tersebut. MBSP juga diaudit setiap tahun oleh SIRIM dalam memastikan sistem tersebut dilaksanakan dengan baik.

Kini MBSP juga menyasarkan untuk menjadi sebuah organisasi sifar rasuah pada tahun 2025 melalui pelaksanaan Pelan Antirasuah MBSP 2021-2025 sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik dan memudahkan rakyat ketika berurusan melalui penyediaan lebih banyak perkhidmatan dalam talian (online) bagi memudahkan semua proses kerja MBSP.

Buat masa ini, MBSP telah menyediakan lebih daripada 100 perkhidmatan secara online sebagai satu usaha MBSP menghapuskan gejala rasuah.

Segala saranan yang diberikan oleh SPRM berjaya memberi kepercayaan masyarakat setempat terhadap MBSP terutamanya yang melibatkan keselamatan dan kesihatan penduduk. Masyarakat di sekitar kawasan Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam juga kini boleh menarik nafas lega yang sebelum ini terdedah kepada pencemaran yang berpunca daripada habuk kayu.

Peranan SPRM dalam memberikan rundingan dan khidmat nasihat kepada MBSP mampu menjadi tunjang yang kuat bagi mengelakkan berlakunya kesalahan tatacara kerja di MBSP sekali gus memerangi jenayah rasuah di PBT terbabit. Berbekalkan keazaman seluruh warganya, sudah pasti memori hitam yang pernah terjadi di MBSP tidak akan berulang lagi.

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Hit : 2816