Berita Menarik

Pegawai Baitulmal MAINS dituduh rasuah, salah guna wang

Seorang pegawai Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan cuba meminta rasuah berhubung kerja pembekalan cenderahati bagi program bantuan hari raya dan menyalahgunakan wang MAINS, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Hasbollah Ahmad, 36, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah atas pertuduhan utama dan pilihan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut kertas pertuduhan utama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pegawai Baitulmal di daerah Kuala Pilah untuk mendapatkan suapan dengan mengesahkan permohonan sebuah syarikat untuk melaksanakan kerja pembekalan cenderahati.

Tindakan itu didakwa dilakukan pada 5 Jun 2017 di Pejabat Baitulmal Daerah Kuala Pilah bagi program bantuan hari raya yang diberikan kepada asnaf fakir miskin di sekitar daerah Kuala Pilah.

Berikutan itu, Mohd Hasbollah didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan wang berjumlah RM4,178 kepunyaan MAINS dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga lima tahun dan sebat serta boleh juga didenda.

Madihah kemudian menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 24 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Berita Harian


Hit : 1744