Berita Terkini

Program CEIO Cetus Budaya Kerja Berintegriti

Kuala Lumpur, 6 April – Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) menjadi tunjang yang kuat dalam mencetus budaya kerja berintegriti dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dalam sesebuah organisasi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata peranan itu akan dapat dilaksanakan melalui tanggungjawab Unit Integriti dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang, peraturan, sistem dan prosedur serta menyemai budaya ‘zero tolerance’ terhadap salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan di kalangan warga kerjanya.

“Integriti adalah elemen penting dalam pembentukan sahsiah, etika, imej dan jati diri yang harus dibudayakan dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan negara.

“Hal integriti menjadi agenda penting dan perlu diberi penekanan dalam sistem penyampaian perkhidmatan oleh organisasi masing-masing,” ujar beliau.

Dato’ Sri Shamshun berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sektor Awam Siri 26 Bilangan 1/2021 anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Ibu Pejabat RISDA di sini, hari ini.

Tambah beliau, bersesuaian dengan norma baharu, peserta pada siri kali ini turut telah menghasilkan video-video pesanan kempen integriti dan antirasuah untuk dikongsikan di platform media-media sosial.

Kursus pada kali ini telah diadakan seratus peratus secara atas talian dan telah berjaya melatih serta mentauliahkan seramai 68 orang peserta dari pelbagai agensi awam sebagai CeIO. 

Terdahulu, program ini turut diserikan dengan penganjuran Seminar Kelestarian Intergriti bertajuk Cabaran Integriti Norma Baharu - Penawaran Perkhidmatan Telus dan Berintegriti yang telah menampilkan Ahli-ahli Panel iaitu Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Haji Suhaime bin Mahbar; Timbalan Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Dato’ Allaudeen Abdul Majid dan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Dato’ Badli Shah Haji Alauddin. Moderator bagi sesi ini telah dikemudikan personaliti pengacaraan popular, Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Turut hadir Ketua Pengarah RISDA, Tuan Abdullah Zainal dan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato' Hj Idris Zaharudin