Berita Terkini

MACA LANCAR PROGRAM IHYA’ RAMADHAN SAMBUT KEDATANGAN BULAN RAHMAT

MACA LANCAR PROGRAM IHYA’ RAMADHAN SAMBUT KEDATANGAN BULAN RAHMAT

1 April, Kuala Lumpur – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan sempena menyambut kedatangan bulan yang penuh rahmat dan berkat, Ramadhan Kareem, hari ini.

“Saya ingin berpesan kepada seluruh warga MACA dan pegawai kadet Kursus Asas SPRM yang sedang menjalani latihan agar sentiasa berpegang kepada empat prinsip utama ini untuk berjaya dalam kerjaya dan kehidupan iaitu patuh kepada ajaran agama dan mengamalkannya, sentiasa menjaga integriti diri, menepati masa serta menguruskan kewangan dengan bijak”, ujar Pengarah MACA, YBhg. Dato’ Hj. Idris bin Zaharudin dalam Ucapan Perasmian Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan tersebut.

Terdahulu, penceramah jemputan Al-Fadhil Ustaz Mohamad Afandi bin Che Harun, Penolong Pengarah Kanan Kluster Ilmu Turath dan Tamadun Islam, Institut Latihan Islam, Bangi telah menyampaikan ceramah bertajuk Marhaban Ya Ramadhan. Al-Fadhil Ustaz menyatakan bahawa sebagai manusia,kita sering alpa dan terlupa. Ramadhan menyediakan ruang untuk manusia menjinakkan nafsu bagi meletakkan amanah dan integriti di makam yang paling tinggi selain mendidik jiwa agar sentiasa sabar dalam bermujahadah tatkala melaksanakan tanggungjawab duniawi dan ukhrawi.

Turut diadakan sesi penyerahan ‘Beg Kongsi Rezeki’ berupa barangan keperluan asas, sumbangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam bin Baki kepada warga MACA Gred 19 dan ke bawah yang telah diwakilkan kepada Pengarah MACA. Hadir sama menyerikan majlis ialah Ketua Pusat Latihan Asas, P/PKPj Shuhaimi bin Man serta ketua-ketua Bahagian, Pusat dan Sekolah MACA.