Berita Menarik

Didenda RM8,000 buat tuntutan palsu PSU

Seorang pemilik syarikat agensi pelancongan didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Ng Lan Fah, 48 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh berkenaan untuk menjalani hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen tulen iaitu lampiran senarai nama pekerja bagi Program Subsidi Upah (PSU) yang terdapat dua nama pekerja yang tidak layak menuntut subsidi tersebut berjumlah RM2,400.

Lan Fah didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Genuang Kampung, Segamat pada 14 April 2020.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun manakala tertuduh diwakili peguam Tan Boon Hong.

Pihak pembelaan mencadangkan denda RM8,000 mengambil kira faktor perniagaannya terjejas disebabkan penularan pandemik Covid-19, menanggung ibu bapanya yang sudah berusia selain perbuatan itu merupakan kesalahan pertamanya.

Bagaimanapun, Suhaili meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

Mengikut fakta kes, Lan Fah membuat permohonan tuntutan melalui borang PSU secara atas talian berkenaan bagi 53 pekerjanya bernilai keseluruhan RM63,600.

Dua daripada pekerja berkenaan tidak layak menuntut subsidi PSU berjumlah RM2,400 kerana pekerja itu tidak mencarum dengan Perkeso.-K! ONLINE

Sumber : Kosmo


Hit : 2756