Berita Menarik

Jangan ganggu saksi atau duduk dalam lokap - Hakim

#OpSelat

Seorang Pegawai Imigresen yang dituduh menerima suapan RM25,000 diberikan peringatan keras oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini agar tidak menganggu saksi pendakwaan atau dibatalkan jaminan dan meringkuk dalam lokap.

Hakim Rozilah Salleh menegaskan tidak mahu mendengar mana-mana maklumat dan laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan tertuduh, Noor Azma Azmin, 39, itu lagi.

“Sekiranya mahkamah terima maklumat saksi-saksi pendakwaan dihubungi, dikunjungi dan diganggu, jaminan akan dibatalkan dan duduk kamu dalam lokap,” jelasnya.

Terdahulu dalam prosiding tersebut, Noor Azma mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk pilihan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan utama, ibu kepada tiga orang yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred 19 di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menerima suapan RM25,000 daripada seorang wanita sebagai upah tidak mengambil sebarang tindakan terhadap warga China dan Pakistan yang mungkin dilakukan di bawah Akta Akta Imigresen 1959/63.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Noor Azma juga didakwa pertuduhan pilihan iaitu dengan jawatan, bahagian dan jumlah suapan sama sebagai balasan membantu melepaskan warga asing tersebut serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Justeru, dia melanggar peruntukkan Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan di bahagian terminal KLIA, Sepang pada 2017.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd. ‘Afif Ali memaklumkan saksi utama telah di ganggu dengan cara dihubungi (menerusi telefon bimbit) oleh tertuduh pada 21 Mac lalu sebelum membuat laporan polis.

Sumber : Kosmo

Hit : 3760