Berita Terkini

SPRM Berjaya Anjurkan E-Seminar Integriti Libatkan KSU Dan SUKN Dalam Usaha Memperkasakan Pemantapan Integriti Sektor Awam

PUTRAJAYA, 25 MAC - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menyatakan penjawat awam adalah aset penting kepada penggerak sistem pentadbiran kerajaan yang kian mencabar dalam menempuh era perubahan baharu kini.

“Sistem penyampaian awam yang berintegriti tinggi amat diharapkan bagi memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Faktor penyumbang kepada masalah iaitu ketirisan integriti dalam diri, kurang ketelusan dalam membuat keputusan dan struktur institusi yang tidak kemas perlu diatasi segera untuk perubahan tadbir urus yang baik.

“Penyampaian perkhidmatan merupakan elemen utama yang sangat penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah kepada rakyat. Sistem penyampaian perlulah berkesan, dipercayai dan mesra pelanggan. Ia harus bersifat holistik agar menjadi asas kepada kesejahteraan negara dan kestabilan ekonomi,” tegasnya.

Malah, Tan Sri Mohd Zuki turut mengingatkan supaya Ketua-ketua Jabatan cakna dengan perubahan gaya hidup pegawai-pegawai di bawah seliaannya dan bertindak pantas bagi menghindar daripada berlaku kes salah laku dan pelanggaran integriti. Mereka turut disaran agar menunjukkan tauladan yang baik bagi menjaga imej jabatan dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel dalam Sidang Plenari “Kupasan Isu dan Cabaran Pemantapan Integriti dalam Perkhidmatan Awam” sebagai salah satu pengisian program Kursus Integriti E-Seminar Untuk Ketua Setiausaha (KSU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUKN) “You Are Integrity Champion” di Pejabat KSN hari ini.

Kursus yang diadakan secara maya (aplikasi zoom) ini turut menjemput Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman sebagai ahli panel kedua sementara moderator bagi sesi tersebut telah dikendalikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Seramai 27 orang KSU dan 13 orang SUKN serta wakil telah hadir pada kursus berkenaan.

Sebelum itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali mendahului sesi dengan Pembentangan Kerangka Perundangan/Penguatkuasaan Undang-Undang. Diikuti oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dengan Pembentangan Kerangka Pengurusan Integriti. Kedua-dua pembentangan ini telah diadakan pada sebelah pagi di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia yang juga merupakan Penganjur Utama kursus.



Hit : 2572