Berita Menarik

Penjara 9 bulan, denda RM10,000 rasuah polis

Bekas kakitangan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM350 kepada seorang anggota polis, Julai tahun lalu.

Tertuduh, R Lingeswaren, 38, yang bertugas sebagai pekerja rendah awam di bahagian kejuruteraan MPT membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lingeswaren didakwa secara rasuah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM350 kepada seorang ejen kerajaan iaitu Sarjan Som Nek Euat yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam bagi menjalankan pemeriksaan terhadap tertuduh.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sekitar Jalan Tupai, Taiping, kira-kira jam 9.20 malam, 13 Julai 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Harian Metro


Hit : 2840