Berita Menarik

Pengarah syarikat pembekalan elektronik direman

Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan pengarah syarikat pembekalan elektronik direman lima hari bagi membantu siasatan rasuah RM10,000 untuk menceroboh tanah rizab kerajaan tanpa tindakan undang-undang di Klang dekat sini, kelmarin.

Majistret Ellyna Othman membenarkan perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 60 tahun bermula hari ini selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek telah memberikan wang rasuah sebanyak RM10,000 pada Selasa lalu dengan balasan tidak mengambil tindakan undang-undang bagi menceroboh tanah rizab kerajaan berkenaan.

“Suspek yang mengusahakan kilang pembekalan elektronik lebih 20 tahun didapati menceroboh rizab Sungai Aur, Pandamaran di Klang.

“Pencerobohan dilakukan sejak awal tahun ini dengan menambak tanah selain memasang pagar-pagar kayu dipercayai untuk meletakkan barangan kilangnya,” kata sumber.

Jelas sumber lagi, suspek ditahan selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 1 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, dalam prosiding reman tersebut, suspek diwakili peguam, Lo Mei Na.

Sumber : Utusan


Hit : 1948