Berita Terkini

SPRM Manfaat Ahli Profesional MIA

PUTRAJAYA, 23 MAC -  Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menzahirkan kebanggaan terhadap keprihatinan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dalam penambahbaikan pengurusan antirasuah terhadap institusinya.

Datuk Seri Azam berkata, akauntan adalah ‘gatekeeper’ dalam sesebuah organisasi, golongan profesional dalam perakaunan dan mereka juga perlu mempunyai sikap bertangggungjawab dalam diri masing-masing.

“Penerapan nilai integriti dan akauntabiliti adalah sebahagian daripada etika kerja yang perlu diambil berat. Sikap yang tidak beretika dalam organisasi boleh menyebabkan seseorang itu hilang nilai integriti diri.

“Kita perlu mengingatkan mereka tentang perbuatan yang boleh menjejaskan integriti diri sendiri dan organisasi. Jika disabitkan kesalahan mereka perlu bersedia untuk menerima hukuman tersebut,” ujar beliau.

Sementara itu, Datuk Seri Azam mengalu-alukan kerjasama daripada MIA untuk berkolaboratif bersama SPRM khususnya dalam usaha menangani gejala rasuah seperti penganjuran latihan dan penubuhan unit integriti di organisasi tersebut.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi MIA ke Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr. Nurmazilah Dato’ Mahzan; Pengarah Eksekutif Pengawasan dan Penguatkuasaan, Dato’ Hj. Muhammad Redzuan Abdullah; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, KPKPj Nurahim Abd. Rahim serta Pengarah Bahagian Analisa Kewangan SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli.


Hit : 2771