Berita Menarik

Palsu Dokumen beli ikan kerapu hibrid, bekas pengurus didenda

Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Terengganu (PPNT) didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana memalsukan dokumen bagi pembelian ikan kerapu hibrid.

Tertuduh, Che Sa'adon Che Yahya, 57, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Jamaludin Mat membuat keputusan itu selepas tertuduh didapati bersalah di akhir kes pembelaan apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu satu resit bertarikh pada 17 September 2016 bagi pembelian ikan kerapu hibrid bernilai RM600 yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PBNT pada September 2016.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) boleh dihukum mengikut Seksyen 465 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurshafini Mustafha manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Terdahulu, tertuduh pada 7 Februari lalu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan di Mahkamah Sesyen kerana memalsukan invois.

Tertuduh didapati bersalah memalsukan invois pembaikan kenderaan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik PPNT berjumlah RM1,140, sedangkan pembayaran dibuat untuk kenderaan pelbagai guna Toyota Wish miliknya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/686512/palsu-dokumen-beli-ikan-kerapu-hibrid-bekas-pengurus-didenda-metrotv?fbclid=IwAR10VXqTwhFzZkDDkQYy7Z0F92VIHqOdNBhOnHKXp3vhmcM1Pl-2HtTOtl0


Hit : 2171