Berita Terkini

Cabaran Menangani Rasuah Kini Lebih Getir

PUTRAJAYA, 18 MAC -  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengakui cabaran dalam menangani rasuah semasa era Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehinggalah transformasi kepada SPRM adalah dilihat sangat berbeza.

Datuk Seri Azam berkata, SPRM perlu fokus menggunakan pendekatan-pendekatan terkini yang disesuaikan mengikut peredaran masa seiring dengan perkembangan teknologi di peringkat nasional dan global. 

"Cabaran SPRM dalam usaha menangani rasuah amat getir di mana arus teknologi maklumat semakin berkembang. 

"Perkara ini telah menuntut SPRM lebih fokus dan cakna untuk melihat terhadap kesemua kes dan sentiasa dalam keadaan 'active mode' bagi menanganinya dengan lebih berkesan dan efektif.

"Berikutan pandemik Covid-19 dan arahan pematuhan garis panduan dalam norma baharu ini, SPRM perlu melihat perspektif pencegahan rasuah dengan pelbagai cara namun melaksanakannya dengan tindakan yang efektif serta berimpak tinggi," ujar beliau. 

Sementara  itu, Datuk Seri Azam mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu SPRM khususnya dalam usaha menangani gejala rasuah kerana isu ini bukan hanya terletak dibahu SPRM sahaja.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Antara Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan SPRM mengenai kolaboratif menjayakan Gerakan Jihad Rakyat (GJR) di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pemandu   

MPM merangkap Penasihat GJR,Tun Mohd Hanif Omar; Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM dan Penasihat GJR, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil;  Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya;  Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Dato' Junipah Wandi serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan & Penyelidikan SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.



Hit : 4746