Kolumnis@SPRM

Lindungi liabiliti penjawat awam daripada 'arahan tangan ghaib

BEBERAPA hari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap sebuah syarikat swasta mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang juga dikenali sebagai liabiliti korporat.

Syarikat pembekalan kapal luar pesisir berkenaan menjadi organisasi komersial pertama di Malaysia didakwa mengikut Seksyen 17A sejak undang-undang itu dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lalu.

engarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, pernah berkata menerusi penguatkuasaan Seksyen 17A dijangkakan lebih banyak tangkapan dan pendakwaan kes rasuah dijalankan terhadap individu serta organisasi komersial.

Faktor perubahan perundangan di Malaysia untuk membanteras rasuah sektor swasta ialah dengan memasukkan Seksyen 17A dalam Akta SPRM 2009 yang mengenakan tanggungjawab jenayah kepada organisasi komersial akibat kegagalan mereka mencegah rasuah.

Terma Seksyen 17A Liabiliti Korporat menyatakan bahawa: "Organisasi komersial akan dianggap melakukan kesalahan jika seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial secara rasuah menawarkan atau memenuhi apa-apa keinginan kepada mana-mana orang dengan niat untuk memperoleh atau mengekalkan perniagaan atau kelebihan dalam menjalankan perniagaan organisasi komersial tersebut." 

Penjelasan seterusnya menyatakan: "Sekiranya suatu kesalahan dilakukan oleh organisasi komersial, setiap orang yang merupakan pengarah, pengawal, pegawai atau rakan kongsi atau yang berkenaan dengan pengurusan hal ehwal organisasi komersial pada masa kesalahan itu dilakukan juga akan dianggap sebagai melakukan kesalahan yang sama dan boleh dikenakan hukuman sama." 

Oleh itu, beban bukti kini beralih kepada organisasi komersial terbabit, yang mana individu didakwa mesti menunjukkan kesalahan itu dilakukan tanpa pengetahuan atau niat olehnya dan dia sudah pun melakukan usaha yang wajar untuk mencegah pelanggaran terbabit.

Syarikat perlu menunjukkan bahawa tatacara mencukupi sudah dilaksanakan dalam organisasi bagi tujuan mengelak individu yang berkaitan dengannya melakukan amalan rasuah berkenaan.
Itu dari segi liabiliti korporat. Dalam konteks berbeza, rasanya sudah sampai masa diperkenalkan peruntukan 'salah laku penjawat awam' bagi memperkuatkan lagi Akta SPRM 2009.
Sasarannya, untuk menangani salah laku penjawat awam yang mengakibatkan kerugian wang besar ditanggung kerajaan.

Kerajaan boleh merangka satu undang-undang yang boleh mengambil tindakan punitif terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kewangan kerajaan.

Kerajaan Hong Kong misalnya, sudah mempunyai pelaksanaan undang-undang bagi menangani kesalahan ini yang membawa hukuman sehingga tujuh tahun penjara.
Hasilnya pada 2017, bekas Ketua Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang, menjadi pegawai tertinggi pertama didakwa di bawah kesalahan itu. Beliau dipenjara selama 20 bulan kerana salah laku penjawat awam.

Malaysia juga memerlukan peruntukan seumpama ini bertujuan untuk menghukum dan mencegah. Perkara itu perlu dijalankan secara adil kepada semua yang terbabit dalam proses membuat keputusan, termasuk Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen.

Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen dipilih rakyat dan seharusnya ditempatkan pada standard yang tinggi.

Tiada sesiapa mempunyai kemampuan menggunakan 'arahan tangan ghaib' dan mengatasi undang-undang demi kepentingan peribadi. Seharusnya tidak ada double standard atau pilih kasih dalam penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang.

Undang-undang yang mempunyai hukuman berat seperti ini dapat menjadi faktor pencegah berkesan terhadap tindakan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memegang jawatan awam kerana mereka akan takut akibatnya.

Bagi menjamin akauntabiliti serta tanggungjawab pegawai kerajaan dan ahli politik, undang-undang ini menjadi alat legislatif bernilai untuk memerangi rasuah dalam sesebuah institusi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, menyatakan kebiasaannya penjawat awam yang menyebabkan ketirisan kewangan ini mendapat arahan daripada pegawai atasan mereka, termasuk menteri dan ahli politik.

Namun, apabila penjawat awam ditangkap, pegawai atasan mereka yang memberi arahan sering 'menghilangkan diri' dan membiarkan tertuduh menyelesaikan masalah bersendirian.
Penjawat awam seperti ini sebenarnya berbelah bahagi untuk berada di jalan yang benar atau melaksanakan arahan pegawai atasan yang korup.
Seterusnya, Azam ada menyatakan kes rasuah membabitkan ketirisan dalam perolehan kerajaan dilihat semakin kritikal. Beliau berkata, 50 peratus daripada kes terbabit membabitkan agensi kerajaan.

Transparency International 2020 menganggarkan rasuah boleh bernilai antara 10 hingga 15 peratus daripada nilai kontrak berkenaan. Menurut United Nation Development Program (UNDP), hal ini akan merosotkan kepercayaan antara pembeli awam dan pembekal swasta.

Sesetengah penjawat awam, menteri dan ahli politik menggunakan faktor kuasa, peluang serta tekanan dan merasionalkan tindakan untuk melakukan jenayah rasuah.
Oleh itu, kerajaan perlu memandang serius risiko ini dan mempertimbangkan cadangan memperkukuhkan dasar kawalan dalaman serta amalan baik sedia ada bagi menangani masalah berkenaan.

Penting untuk dipastikan pada setiap masa, penjawat awam harus tahu bahawa mereka dilindungi ketika menjalankan tugas.

Lebih penting, mereka dapat menggunakan hak untuk mengabaikan ahli politik yang berusaha campur tangan dalam urusan pekerjaan mereka, khususnya apabila permintaan itu bertentangan tatatertib perkhidmatan awam dan tidak sesuai undang-undang.

Beberapa tahun lalu, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, menyatakan bahawa memberi amaran secara lisan yang mengelirukan kepada penjawat awam adalah satu kesalahan.
Ini kerana, pada akhirnya perkara itu mengakibatkan pesalah sebenar tidak mendapat hukuman dan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau menganggarkan lebih 30 peratus nilai projek sektor awam di Malaysia hilang akibat salah pengurusan dan rasuah. Bayangkan berapa banyak jumlah simpanan dapat digunakan ataupun projek baharu dapat dilaksanakan dengan efektif menggunakan jumlah yang hilang itu.

Semestinya, SPRM sendiri berhasrat memasukkan peruntukan salah laku penjawat awam dalam Akta SPRM 2009.

Jika diimbas kembali, ketika pindaan Seksyen 17A dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen pada 2018, ia mendapat sokongan dwiparti yang kuat daripada anggota Dewan Rakyat.
Diharapkan peruntukan salah laku penjawat awam ini akan menerima sokongan sama dan sebulat suara Parlimen. Menerusi peruntukan baharu ini, kerajaan akan lebih bersedia untuk mengurangkan, ketirisan, penipuan dan pembaziran dana awam.

Memandangkan cabaran kewangan yang melanda kerajaan akibat COVID-19 ini, peruntukan ini perlu disokong dan diluluskan segera.


Datuk Seri Akhbar Satar 
Penulis adalah Presiden Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.



Hit : 4329