Berita Menarik

Op Sukat

44 termasuk 32 pegawai JPJ ditahan, terima RM1.64 juta

PETALING JAYA: Sebanyak 44 individu terdiri daripada 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), masing-masing seorang anggota dan bekas anggota trafik polis manakala selebihnya orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori.

Kegiatan yang dilakukan sejak 2019 sehingga tahun lalu itu terbongkar selepas kesemua mereka dipercayai menerima suapan keseluruhan bernilai RM1.64 juta

Kesemua mereka ditahan menerusi satu operasi besar-besaran yang dikenali sebagai Op Sukat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka sejak semalam kerana tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Menurut sumber, kegiatan itu melibatkan pegawai JPJ pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula merupakan proksi.

Kata beliau, daripada jumlah yang ditahan, masing-masing 11 individu ditahan di Kedah dan Melaka diikuti Pulau Pinang (9 individu), Perak (12 individu) dan Perlis (seorang).

“Modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

“Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan bagi melepaskan pemandu lori terlibat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkaitan operasi tersebut.

Beliau berkata, operasi tersebut merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya Ketua Pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut.

Katanya, ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan.

“Objektif siasatan ialah tertumpu kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/44-termasuk-32-pegawai-jpj-ditahan-terima-rm1-64-juta/


Hit : 1547