Berita Terkini

SPRM Lancar AIMS

PUTRAJAYA, 12 MAC - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah melancarkan Sistem Pelaporan Unit Integriti Agensi (Agency Integrity Management System atau AIMS) secara maya semasa Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Pegawai SPRM Yang Ditempatkan Ke Agensi Luar (MPSAL) Siri 29 Bil. 1 Tahun 2021 di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

AIMS merupakan sistem yang akan digunapakai oleh Unit Integriti Agensi (UI) Awam, Badan Berkanun dan Unit Governans & Integriti (IGU) Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi merekod serta mengemukakan laporan secara berkala berkaitan pelaksanaan fungsi UI dan IGU ini kepada Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, BPIA sebagai Bahagian yang mengawal selia UI telah melaksanakan pelbagai inisiatif baharu dalam memastikan pelaksanaan fungsi ini dapat diselaras, dinilai dan dipantau keberkesanannya. Antaranya adalah mewujudkan AIMS ini.

"Sistem pelaporan ini akan menjadi satu medium yang bukan sahaja menerima laporan aktiviti pencegahan rasuah yang dilaksanakan oleh agensi tetapi juga dapat menganalisa dan membuat laporan eksekutif terhadap keseluruhan aktiviti agensi berkenaan.

"Dalam masa yang sama ia turut menjadi integrasi data terhadap pembangunan profil organisasi, struktur UI, penerapan risiko dan pelaksanaan inisiatif tadbir urus seperti Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan kaedah Penilaian dan Pengurusan Risiko (CRM) yang berfaedah untuk rujukan bahagian-bahagian lain di SPRM," ujar beliau.

Sistem ini telah dibangun dan dimurnikan oleh BPIA bersama Cawangan Aplikasi Rekod, Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) serta syarikat
2enapps Sdn Bhd, pihak pembekal yang dilantik sebelum dibentangkan kepada pihak Pengurusan Tertinggi SPRM.

AIMS dijangka akan digunapakai oleh UI dan IGU menjelang pelaporan Penggal Pertama Tahun 2021.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi; Pengarah-pengarah Bahagian serta pegawai-pegawai SPRM yang ditempatkan di agensi luar sebagai Ketua Unit Integriti dan Pegawai Integriti.


Hit : 5828