Berita Menarik

Denda RM80,000 kerana gagal lapor pemberian rasuah

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan bekas penolong pengurus pengeluaran Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), membayar denda RM80,000 selepas mengaku salah terhadap empat pertuduhan pilihan gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM201,800 diterimanya, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan supaya Jamal Nasir Mamat, 64, dihukum penjara lapan bulan, jika tertuduh yang beralamat di Taman Mahkota Permai di sini, gagal menjelaskan denda.

Jamal Nasir didakwa gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung suapan yang diterimanya di antara 21 Disember 2015 dan 4 Oktober 2017 daripada pengarah sebuah syarikat pembinaan di dua bank sekitar daerah ini, dengan setiap transaksi bernilai RM90,000, RM60,000, RM20,000 dan RM31,800.

Suapan yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik menantu tertuduh, dikatakan sebagai balasan kerana tertuduh membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek baik pulih pasca banjir 2014 daripada PAIP, secara lantikan terus bernilai RM3.76 juta.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menjawat jawatan itu sejak 1 Januari 2014 mula mengenali pengarah syarikat itu sejak tahun 2011, yang kemudian telah meminjam 10 lesen perniagaan Bumiputera pada tahun 2015 bagi menyertai tawaran kerja dikeluarkan PAIP.

Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian Harga untuk membantu 10 syarikat berkenaan mendapatkan 12 projek membaiki sistem bekalan air akibat banjir termasuk di Lubuk Kawah, Temerloh; Mela, Lipis dan Kuala Tahan, Jerantut.

Pada prosiding itu, Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara, kerana tertuduh adalah pesakit jantung dan sedang menjalani rawatan berkala di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, selain menghidap tekanan darah tinggi sehingga menjejaskan penglihatannya.

"Tertuduh juga perlu membawa isteri ke hospital setiap bulan bagi rawatan penyakit darah tinggi dan kencing manis selain berulang ke Melaka untuk membawa ayahnya yang berusia 93 tahun ke hospital.

"Sebelum ini, tertuduh pernah berniaga, namun syarikat itu mengalami kerugian dan disenarai hitam oleh PAIP. Tertuduh juga membantu menjelaskan hutang tertunggak selepas syarikat pengiklanan anaknya menghentikan operasi, kerana terkesan dengan pandemik COVID-19," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman bersifat pengajaran, selain perlu mengambil kira faktor tertuduh sebelum ini berdepan 11 pertuduhan sebelum pihak pendakwaan menerima representasi dihantar peguam dan menawarkan pertuduhan pilihan terhadap tertuduh.

Jamal Nasir pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 19 Feb 2020. – BERNAMA


Hit : 2134