Berita Terkini

KASA, SPRM Bincang Isu Alam Sekitar

PUTRAJAYA, 5 MAC - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di sini, hari ini.

Kunjungan ini diketuai Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Lawatan selama sejam tersebut merupakan platform bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan berkaitan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Dalam pertemuan tersebut juga, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini telah mengemukakan cadangan untuk menjalinkan kerjasama dengan SPRM dan memantapkan lagi tadbir urus dan pemantauan bersepadu terutama sekali dalam aktiviti penguatkuasaan pencemaran sungai atau sumber air.

KASA mempunyai visi dalam menjadi peneraju pelestarian alam sekitar dan air yang mampan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, suruhanjaya ini bersedia untuk bekerjasama dan menyambut baik usaha KASA dalam melaksanakan pelan dan strategi dalam menangani aktiviti pencemaran sumber air bagi memastikan sumber air bersih terjamin tanpa sebarang pencemaran.

Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan lagi keberkesanan tadbir urus untuk memastikan pencemaran alam sekitar tidak berleluasa dan menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian perkhidmatan alam sekitar dan air di seluruh negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya serta Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) KASA, Azizah Ariffin.


Hit : 1797