Berita Terkini

‘Unsung Hero SPRM’ Diraikan

PUTRAJAYA, 5 MAC - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan Program 'Seindah Budi Bertaut Kasih' dengan memberi tumpuan kepada warga pemandu dan pembantu keselamatan SPRM di sini, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau teruja untuk hadir ke program ini walaupun agak sibuk dengan kekangan tugas.

"Program ini dianjurkan khas sebagai tanda penghargaan dan apresiasi kepada anda semua yang telah berkhidmat di agensi ini sejak namanya Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehinggalah ke SPRM".

"Anda memainkan peranan yang penting sebagai petugas barisan hadapan dan secara tidak langsung mewakili imej SPRM".

"Saya juga ingin tekankan di sini bahawa tingkahlaku yang baik perlu dikekalkan bagi mencerminkan imej anda sendiri sekaligus kepada jabatan," ujar beliau.

Datuk Seri Azam juga berkongsi pengalaman semasa beliau memulakan perkhidmatan di BPR pada 36 tahun dahulu di mana kehadirannya disambut oleh petugas kumpulan sokongan sebelum dibawa masuk berjumpa dengan pegawai kanan.

Sementara  itu, Datuk Seri Azam semasa berucap dalam majlis berkenaan turut menyatakan kesungguhannya untuk mengambil berat berkaitan isu kebajikan pekerja kerana ia adalah penentu kepada kesempurnaan tugas dan beliau juga menekankan akan sebaik mungkin memenuhi keperluan yang kondusif kepada warganya.

Turut hadir adalah PKPj Kamarudin M Ripin, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategi SPRM selaku Ketua Jawatankuasa Penganjur Program.