Kes-kes Menarik

Bekas pengurus ladang Felcra didakwa pecah amanah

Sandakan: Bekas pengurus ladang Felcra mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap enam pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah lebih RM20,000 pada 2018.
Shahrul Nazim Mustapa, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Bagi pertuduhan pertama sehingga keenam, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pengurus Felcra Estet Pertama didakwa melepaskan dengan curangnya Wang Tabung Bagi Kerja-Kerja Urus kendali Felcra Estet Pertama berjumlah keseluruhan RM20,999.44 melalui cek Maybank Islamic.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Felcra Bhd di sini antara 6 Ogos 2018 dan 31 Dis 2018.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan RM5,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan.
Hakim itu turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap dua bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 8 April.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus manakala peguam Hamida Ambo mewakili tertuduh.

Sumber : Harian Metro