Kes-kes Menarik

Dua beradik warga Syria dituduh rasuah

ALOR SETAR – Dua beradik lelaki warga Syria dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM10,000 kepada seorang anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada tahun lalu.

Tertuduh, Ali Esmail Hamed, 38, dan adiknya, Alaa Esmail, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di Restoran Yasmeen Express milik Ali yang terletak di Pantai Chenang, Langkawi dekat sini
kira-kira pukul 12.50 tengah malam, 22 Januari 2020.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan kepada anggota JIM yang berjawatan Penolong Pegawai Imigresen KP29 untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pekerja restoran tersebut yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. 

Sumber : K! ONLINE.