Berita Terkini

SPRM Sedia Jalin Kerjasama Dengan Yayasan Peneraju Dalam Usaha Perangi Rasuah

PUTRAJAYA, 1 MAC - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Delegasi yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd. Muzzammil Ismail telah disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Lawatan selama sejam itu merupakan platform bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan berkaitan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku di negara ini.

Dalam pertemuan tersebut juga, Mohd. Muzzammil telah mengemukakan cadangan untuk menjalinkan kerjasama dengan SPRM dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dalam usaha memerangi jenayah rasuah seperti berkongsi kepakaran dan latihan secara bersama.
 
Yayasan Peneraju merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pembinaan keupayaan bakat Bumiputera yang mampan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, suruhanjaya ini bersedia untuk bekerjasama dan menyambut baik usaha Yayasan Peneraju bagi memperkasakan lagi agenda pencegahan rasuah dalam industri latihan yang bakal dibincangkan secara terperinci dalam tempoh terdekat.

Turut hadir ialah Pengarah MACA, Dato’ Idris Zaharudin dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, KPKPj Nurahim Abd. Rahim.

Hit : 1983