Kolumnis@SPRM

Azam dalam diri Azam Baki


PENERAJU Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki memiliki keazaman diri yang kuat persis namanya juga.

Keazamannya untuk membanteras rasuah dapat dilihat daripada luahan hatinya dalam pertemuan dengan ketua-ketua pengarang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya minggu lalu.

Banyak soalan yang kami lontarkan. Apa yang bagusnya ialah, beliau menjawabnya tanpa dolak-dalih.

Misalnya, kenapa orang kena tuduh terlepas daripada dakwaan setelah dia jadi saksi utama pendakwaan. Ini semua di luar kawalan SPRM tetapi Azam Baki menjelaskannya agar kami faham.

Beliau juga ingin mendengar apakah kelemahan di pihaknya dalam menerangkan kepada masyarakat tentang tanggungjawab SPRM serta langkah-langkah yang dibuat untuk menjelaskan sesuatu isu itu kepada masyarakat.

Katanya, walaupun dalam banyak hal, media sosial kelihatan seperti mengambil peranan media massa dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat tetapi beliau masih menaruh kepercayaan tinggi kepada media arus perdana sebagai platform berintegriti.

Yang menjadi kebimbangannya ialah rakyat tidak tahu apa dilakukan SPRM.

“Rakyat perlu tahu apa cabaran dan hala tuju SPRM dalam keadaan kami berhadapan pelbagai cabaran menangani rasuah secara berkesan, baik menerusi sudut operasi, pencegahan mahu pun dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat.

“Ini kerana di sebalik tindakan demi tindakan SPRM, masih ada lagi beberapa perkara yang tidak sampai ke pengetahuan masyarakat. Oleh itu perlu ada kerjasama yang erat antara media dan SPRM,” tegas Azam.

Beliau memberi contoh tentang program pembentukan Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR); program Wira Anti-Rasuah dalam kalangan pelajar sekolah; program pendidikan anti-rasuah melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian serta platform e-sukan.

SPRM juga menurut beliau telah memasukkan elemen pendidikan anti-rasuah dalam buku teks Bahasa Melayu untuk murid Tahun Lima. Dan terbaru, menerusi Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023, SPRM telah meminta Kementerian Pengajian Tinggi untuk setiap universiti menerima Kursus Integriti dan Rasuah sebagai mata pelajaran wajib di peringkat ijazah pertama.

Di peringkat agensi kerajaan pula, SPRM juga telah menekankan keperluan kepada mereka untuk membina Pelan Anti-Rasuah Organisasi masing-masing.

Untuk tujuan itu, SPRM menempatkan seramai 80 pegawai integriti di Bahagian Integriti agensi-agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu mereka melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi ini.

Jelas Azam, gerak kerja SPRM dalam usaha mencegah rasuah ini sehinggalah ke peringkat melakukan pemeriksaan dan perundingan bagi memastikan sesuatu sistem dan prosedur kerja tidak wujud kelompongan 

Dan sepanjang tahun lalu, SPRM mengemukakan sebanyak 245 cadangan penambahbaikan kepada agensi-agensi awam dan swasta di seluruh negara.

Antara agensi yang terlibat di bawah penambahbaikan ini ialah Kementerian Pertahanan berkaitan isu campur tangan individu berpengaruh dan Tourism Malaysia berkaitan isu perolehan perkhidmatan penyiaran pengiklanan.

Malah, sebelum ini katanya, perkara sama turut dilaksanakan bagi menyelesaikan isu penyelewengan di Jabatan Air Sabah dan isu bauksit di Pahang.

Azam dalam diri Azam Baki jelas dan nyata. Yang tinggal lagi hanyalah azam dalam kalangan pegawai yang diamanahkan tanggungjawab dan azam di tangan kita rakyat jelata untuk menolak rasuah. Ibarat ibu kita selalu cakap masa kita kecil; “Mak kata jangan...”


Penulis : Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Sinar Harian