Berita Menarik

Anggota polis hadapi 25 tuduhan tuntutan palsu

IPOH: Seorang lans koperal polis didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas 25 pertuduhan bersubahat dengan isterinya membuat tuntutan palsu gaji berjumlah RM263,810 antara 2018 hingga tahun lalu.

Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam didakwa bersubahat dengan isterinya yang masih bebas, Siti Aisyah Mohamad Amir, 31, iaitu Eksekutif Sumber Manusia Hovid Berhad dengan mengemukakan dokumen palsu dan memasukkan nombor akaunnya bagi menuntut gaji sedangkan dia bukan pekerja syarikat berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama di Pejabat Hovid Berhad, Kinta antara 31 Mei 2018 hingga 30 Jun 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan dibaca bersama Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Terdahulu, Nurul Wahida tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh melarikan diri, terutama isterinya masih bebas dan usaha sedang dibuat untuk mengesannya.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan berikutan Mohd Iqbal sendiri membuat laporan dan menyerah diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak.

Hakim membenarkan tertuduh diikat dijamin RM125,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM dua kali sebulan.

Mahkamah turut menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Hit : 2721