Berita Menarik

Bekas Lans Koperal dipenjara 23 bulan

Gara-gara menerima rasuah daripada pemilik sebuah pusat urut bernilai RM3,900, seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal dihukum penjara selama 23 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut kepada Mohd. Shahridhuan Zohir, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah atas enam pertuduhan termasuk satu pertuduhan pilihan.

Rozilah dalam penghakimannya berkata, tertuduh masih muda dan berharap akan menjadi masyarakat yang berguna terutama kepada ibu bapa.

“Saya berharap hukuman yang dijatuhkan ini dapat menginsafkan dan petunjuk supaya kamu berhenti,” ujarnya.

Berdasarkan hukuman dikenakan, bekas penerima anugerah perkhidmatan cemerlang tahunan di sebuah Ibu Pejabat Polis (IPD) di Selangor itu dikenakan penjara keseluruhan 14 bulan, namun, hukuman penjara paling lama adalah tiga bulan dan diperintahkan berjalan serentak.

Tertuduh merupakan anak sulung daripada enam beradik itu turut diperintahkan membayar denda sejumlah RM30,000 atau berdepan penjara tambahan selama 20 bulan sekiranya gagal membayar untuk semua pertuduhan, namun, tertuduh gagal membayarnya.

Oleh demikian, jumlah keseluruhan hukuman penjara terhadap tertuduh 23 bulan dari tarikh dia ditangkap pada 12 Januari lalu.

Bagi lima pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai keseluruhan RM3,300 bersama anggota berpangkat konstabel percubaan, lans koperal dan koperal daripada seorang pemilik pusat urut dengan tanpa balasan yang mengetahui ada kaitan dengan tugas rasmi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh yang telah diberhentikan kerja pada 19 Mac 2019 turut mengaku bersalah menerima suapan RM600 daripada individu dan tujuan yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu bersama rakan-rakannya dari balai sama di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik, Semenyih dan sebuah restoran di Jalan Reko, Kajang dekat sini antara 27 Jun 2016 hingga 4 Februari 2017.

Kesemua perbuatan itu dilakukan Mohd. Shahridhuan ketika berjawatan Lans Koperal di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi.

Sabit kesalahan bagi keenam-enam pertuduhan itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahad dan pegawai pendakwa SPRM, Tuan Attfina Tuan Kamaluddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber — Utusan



Hit : 1923