Kolumnis@SPRM

Tampil Lapor Rasuah, Wujudkan Sifar Rasuah Dalam Perkhidmatan Awam


Oleh :
PKPj KAMARUDDIN M.RIPIN
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd. Jamil sebelum ini mendedahkan bahawa hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing. 

Menurut beliau, walaupun terdapat insentif disediakan kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah, namun angka tersebut menggambarkan ramai yang tidak berani tampil untuk membuat laporan sedangkan perlakuan rasuah bukan sahaja memberi kesan terhadap individu dan organisasi malah terhadap masyarakat serta negara. 

Secara tidak langsung, ia menunjukkan betapa sukarnya untuk merealisasikan usaha sifar rasuah dalam perkhidmatan awam. 

Berdasarkan perangkaan tangkapan SPRM bermula tahun 2015 hingga 2020, daripada jumlah 5,652 tangkapan, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus adalah terdiri daripada penjawat awam iaitu hampir separuh daripada jumlah tangkapan. 

Jika dipecahkan mengikut kumpulan perkhidmatan dalam sektor tersebut, kumpulan pelaksana mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,953 atau 72.8 peratus, diikuti kumpulan pengurusan dan profesional iaitu sebanyak 664 atau 24.7 peratus dan selebihnya terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi. 

Daripada segi jenis kesalahan pula, daripada jumlah tersebut, 1,708 atau 63.7 peratus melibatkan kesalahan menerima rasuah, diikuti 617 atau 23 peratus melibatkan tuntutan palsu dan 228 atau 8.5 peratus adalah kesalahan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan. 

Selain itu, dalam tempoh yang sama, sebanyak 29 atau 1.1 peratus melibatkan kesalahan pengubahan wang haram, 23 atau 0.9 peratus melibatkan kesalahan memberi rasuah dan selebihnya merupakan lain-lain kesalahan. 

Perangkaan tangkapan ini jelas menunjukkan isu rasuah dalam sektor awam merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh kerana sektor awam merupakan tunjang pembangunan negara yang memikul tanggungjawab diamanahkan oleh rakyat. 

Sekiranya isu tersebut tidak ditangani secara tuntas, ia bukan sahaja menjejaskan imej sektor awam malah rakyat akan hilang keyakinan terhadap sektor awam yang sepatutnya menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara ini. 

Menyedari hakikat gejala rasuah dalam sektor awam berada di tahap yang serius, orang ramai khususnya penjawat awam seharusnya berani melaporkan perbuatan rasuah, salah guna kuasa, ketirisan dan penyelewengan kerana sekiranya isu tersebut dibiarkan, ia akan menyebabkan budaya negatif meresap dalam sistem pentadbiran organisasi sekali gus membantutkan pembangunan negara. 

Kakitangan dalam sektor awam perlu mempunyai kesedaran tentang kepentingan untuk memerangi jenayah rasuah dan menjadi mata dan telinga kepada SPRM bagi memastikan agensi atau jabatan mereka tidak terpalit dengan skandal rasuah. 

Disebabkan faktor keselamatan, ada juga dalam kalangan mereka yang risau maklumat peribadi akan terdedah sekiranya membuat laporan kepada pihak berkuasa namun harus diingatkan bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009 memberi jaminan bahawa maklumat pemberi laporan tidak akan didedahkan. 

Berdasarkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, identiti pemberi maklumat serta maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun termasuk semasa perbicaraan di mahkamah. 

Selain itu, pemberi maklumat tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat daripada pendedahan tersebut dan mereka juga dilindungi daripada sebarang tindakan yang memudaratkan hasil tindak balas pendedahan yang telah dibuat. 

Pada masa yang sama, perlindungan turut diberikan kepada mereka yang mempunyai kaitan atau hubungan dengan pemberi maklumat, seperti yang diperuntukkan mengikut akta tersebut. 

Bagi Akta Perlindungan Saksi 2009 pula, individu terbabit boleh diberi pembayaran sara hidup dan tempat tinggal selain diberi identiti baharu bagi memastikan keselamatan mereka tidak terancam ekoran daripada laporan rasuah yang dibuat. 

Perlu diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu tidak melaporkan aktiviti rasuah dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Seperti yang diketahui umum, kes pertama yang didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009 ialah kes membabitkan lima kakitangan Kementerian Kewangan yang didenda RM1,500 dan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 Disember tahun lepas atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM. 

Oleh itu, adalah penting bagi masyarakat umum untuk bekerjasama dengan SPRM kerana usaha memerangi jenayah rasuah bukan tanggungjawab eksklusif SPRM yang mana sokongan padu diperlukan oleh setiap pihak dalam memastikan aktiviti rasuah tidak menular sehingga menjadi ‘wabak’ di masyarakat dan negara ini. 

Bak kata pepatah, ‘Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’, aktiviti rasuah tidak akan berlaku sekiranya ada pihak yang menolak kegiatan tersebut. 

Justeru, marilah kita sama-sama memerangi jenayah rasuah demi kepentingan negara serta generasi akan datang, sekali gus mencapai matlamat dan impian negara bebas daripada gejala rasuah.