Kolumnis@SPRM

Skandal Air Sabah: Syor SPRM Selesai Isu Jangka Masa Panjang


Oleh :
KPKPj NAZLI RASYID SULONG
Pengarah
Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Air merupakan keperluan utama hidupan di muka bumi ini khususnya kepada manusia bagi meneruskan kelangsungan hidup serta melakukan aktiviti seharian. Di era moden ini, perkhidmatan bekalan air menjadi suatu kewajipan buat pemerintah untuk disalurkan kepada setiap golongan masyarakat.

Oleh itu, kerajaan Persekutuan telah memberikan peruntukan kepada Kerajaan Negeri bagi disalurkan pula kepada pihak bertanggungjawab untuk menguruskan air di sesebuah negeri.

Namun begitu, peruntukan besar tersebut jika tidak dipantau dan diuruskan dengan berintegriti, pasti akan mengalir dan tiris sebagaimana paip yang bocor, ke poket pihak yang berkepentingan.

Walaupun peruntukan disalurkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air, malangnya, terdapat isu yang mana matlamat ini tidak tercapai akibat daripada rasuah dan salah guna kuasa oleh pihak berwajib.

Di sebalik tanggungjawab menguruskan sumber air tersebut kepada masyarakat, isu berkaitan rasuah dan penyelewengan projek bekalan air pernah menggemparkan negara sebelum ini. Skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang melibatkan penyelewengan jutaan ringgit dilaporkan oleh media tempatan pada Oktober 2016.

Skandal ini memperlihatkan penyelewengan dalam pengagihan kontrak dan tender pembinaan serta penyelenggaraan air telah memberi kesan amat buruk bukan sahaja kepada jabatan itu, malahan juga rakyat.

Dalam kes berkenaan, sejak 2005 hingga 2016, Kementerian Kewangan Negeri Sabah telah meluluskan RM 4.3 juta Waran Peruntukan Am (WPA) bagi Perbekalan Negeri kepada JANS yang mana dalam tempoh tersebut sebanyak 7,389 Surat Kuasa Membelanja Peruntukan dengan nilai RM 2.1 juta. Jumlah tersebut telah diluluskan oleh Pengarah JANS kepada bahagian-bahagian agensi terbabit berhubung pelaksanaan kerja-kerja kecil.

Walaubagaimanapun, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa telah dilakukan oleh pegawai-pegawai yang terlibat dengan meminta dan menerima komisyen antara 27 hingga 33 peratus daripada nilai kerja-kerja kecemasan dan sebut harga kecil yang ditawarkan kepada kontraktor.

Selain itu, pelantikan kontraktor bagi kerja-kerja sebutharga juga tidak mengikut Arahan Perbendaharaan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bil.2 Tahun 2009 dimana pemilihan telah dibuat terlebih dahulu oleh Jurutera Air Bahagian (JAB) dengan melantik ejen atau orang perantaraan bagi menguruskan proses tersebut.

Bagi memperbaiki kelemahan tadbir urus dalam perkara-perkara terbabit, SPRM menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) melakukan pemeriksaan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung dengan perolehan sebutharga dan kerja-kerja kecemasan di JANS.

Selaras dengan peranannya untuk menjalankan pemeriksaan dan perundingan bagi mengatasi kelemahan- kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja sesebuah organisasi di sektor awam dan swasta, beberapa cadangan penambahbaikan untuk memperketat sistem dan prosedur kerja diperkenalkan.

AmbilKesempatan Perolehan Kerja Kecemasan

Sebahagian besar kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur air oleh JANS dilakukan melalui perolehan kecemasan tanpa melalui prosedur yang banyak atas dasar ‘kecemasan’. Ini disebabkan kerana ketiadaan garis panduan atau polisi yang mendefinisikan ‘kerja kecemasan’. Kelemahan tersebut membolehkan semua aduan berkaitan masalah air dikategorikan sebagai kerja kecemasan.

Pemeriksaan mendapati kerja-kerja penyelenggaraan seperti paip bocor, pecah, kerosakan pam, pemindahan meter, pemeriksaan semula bacaan meter dan kes penyambungan air secara haram dikategorikan sebagai kerja kecemasan. Masalah-masalah tersebut memberikan peluang dan ruang berlakunya ketidaktelusan dan penyelewengan dalam perolehan kerja-kerja kecemasan.

Selain itu, pelantikan kontraktor bagi melaksanakan kerja tersebut dibuat secara lantikan terus di bawah nilai kerja RM 20,000 oleh Jurutera Air Bahagian atau Daerah dalam kalangan syarikat kontraktor kelas F yang telah berdaftar di pejabat jurutera tersebut. Kos setiap kerja ditentukan berdasarkan Jadual Kadar Harga (JKH) yang disediakan oleh pihak JANS.

JKH yang disediakan oleh Jawatankuasa Air Bahagian atau Daerah kebiasaannya akan bermesyuarat dua atau tiga kali setahun. Walaubagaimanapun tiada penetapan tempoh masa yang khas untuk JKH dikaji semula dan hanya digunakan oleh JANS sahaja tanpa dikemukakan ke Kementerian Kewangan Negeri. Perkara tersebut tidak selaras dengan Arahan Perbendaharaan 179 iaitu JKH yang disediakan mestilah disemak atau dikaji oleh jawatankuasa bebas atau jabatan teknikal yang bersesuaian.

BPMP telah memberi cadangan penambahbaikan kepada JANS untuk memperkemaskan pengurusan perolehan bagi kerja-kerja kecemasan dengan mewujudkan dasar serta garis panduan merangkumi definisi, kriteria, skop kerja, proses kerja termasuk kelulusan dan carta aliran kerja, pengurusan perolehan dalam pelantikan kontraktor serta pembayaran bagi kerja-kerja kecemasan.

Manakala JKH yang disediakan oleh pihak JANS perlu disemak dan dikaji oleh jawatankuasa bebas atau jabatan teknikal yang bersesuaian bagi memastikan harga yang digunakan di dalam kerja-kerja sebut harga adalah relevan dengan kos semasa dan selaras dengan Arahan Perbendaharaan 179.

Penambahbaikan yang dibawa oleh BPMP membawa kepada perubahan yang besar dalam pengurusan perolehan kerja- kerja kecemasan. Pewujudan polisi, dasar serta garis panduan tersebut telah meningkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam perolehan kerja kecemasan. Walaubagaimanapun, JANS perlu membuat perancangan rapi dalam memperkemaskan peruntukan bagi penambahbaikan dan penyelenggaraan aset seperti paip, pam, tangki, bangunan dan lain-lain agar pengeluaran kerja -kerja kecemasan dapat dikawal.

Perkemasdan Tambahbaik JKH

Bagi mengawal harga dalam perolehan sebutharga di JANS, BPMP telah mencadangkan semakan semula dan penambahbaikan ke atas JKH dan cadangan semakan semula tersebut disambut baik oleh pihak JANS. Susulan daripada cadangan tersebut, satu Mesyuarat Penyediaan JKH Fasa 1 telah diadakan pada Mei 2018 bagi menambahbaik dan menyemak semula jadual terbabit.

Hasil daripada mesyuarat tersebut draf JKH telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Kementerian Kewangan Negeri untuk diluluskan pada Jun 2018. Walaubagaimanapun, semakan daripada pihak Kementerian Kewangan Negeri mendapati terdapat beberapa perkara yang harus diperbetulkan bersama dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan.

JANS memaklumkan daripada semakan semula JKH yang telah dilaksanakan akan terdapat penjimatan sebanyak tiga hingga 15 peratus dalam perolehan sebutharga akan datang. Selain daripada itu, JANS telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyedia JKH dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kerja – kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan.

Sementara itu, dalam usaha mempertingkatkan tahap kecekapan pegawai di Bahagian atau Zon yang mengendalikan perolehan, JANS telah mengadakan taklimat dalam penyediaan sebutharga dan penyerahan kerja (works submission) di peringkat Zon. Selain itu, JANS turut memaklumkan perolehan bagi kontrak pembaikan dan penyelenggaraan yang dirancang pada 2017 dan pelaksanaannya pada 2021 akan dilaksanakan secara sebutharga terbuka (opentender) bagi memastikan perolehan yang dilaksanakan adalah telus dan memberi penjimatan kepada kerajaan berbanding dengan perolehan secara lantikan terus.

MempertingkatTahap Pematuhan Perolehan JANS

Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa disebabkan oleh kurangnya pemantauan ke atas operasi dan perolehan jabatan. Pemeriksaan yang dilakukan oleh BPMP mendapati pemantauan hanya dilaksanakan oleh Unit Pengauditan Kementerian Jabatan (III), Bahagian Audit Dalam Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Pemeriksaan yang dilakukan unit tersebut hanyalah terhadap sistem kawalan dalaman yang merangkumi skop-skop berkenaan kawalan pengurusan, kawalan terimaan, kawalan perbelanjaan dan kawalan pengurusan aset, inventori dan stor yang melibatkan proses dan penyediaan dokumentasi dan tiada auditan.

Dalam hal tersebut, BPMP telah mengesyorkan satu mekanisme pemantauan dan pelaporan dengan mewujudkan perjawatan Pegawai Audit Dalam di JANS dan Indeks Prestasi Utama (KPI). Ia bertujuan bagi mempertingkatkan kecekapan dan pematuhan ke atas dasar, polisi dan garis panduan. JANS menyambut baik dan bersetuju dengan pengesyoran yang diberikan oleh BPMP untuk mewujudkan mekanisme pemantauan dan pelaporan tersebut.

Walaubagaimanapun, sebagai langkah awal, JANS terlebih dahulu mewujudkan sebuah jawatankuasa Works Evaluation Committe (WEC) untuk menilai tatacara perolehan, skop kerja dan kadar harga bagi sebut harga di semua daerah sebelum dan selepas proses perolehan dilaksanakan. Ini kerana pewujudan Pegawai Audit Dalam di JANS memerlukan sedikit masa terutama dalam pengisian jawatan disebabkan oleh kekangan pegawai sedia ada.

Mempertingkatkanintegriti, kredibiliti, akauntabiliti pegawai JANS

Susulan daripada skandal terbabit, serta beberapa penambahbaikkan yang dikemukakan oleh BPMP, JANS telah menubuhkan Unit Integriti (UI) dibawah Pengurusan Sumber Manusia. Penubuhan UI adalah selaras dengan pengesyoran BPMP dalam mempertingkatkan integriti, kredibiliti dan akauntabiliti warganya.

UI bertanggungjawab untuk melaksanakan siasatan secara dalaman apabila terdapat aduan berkaitan dengan salah laku pegawai. Pihak JANS menyatakan penubuhan Unit Integriti JANS ini dilihat dapat membantu dalam mengawal isu berkaitan pelanggaran integriti dan salah laku rasuah.

Selain daripada itu, UI bertanggungjawab untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan berkaitan isu-isu rasuah dan integriti dengan melaksanakan program bertemakan integriti untuk warga JANS. Di antara program yang telah dilaksanakan oleh UI adalah Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sempena seminar integriti bersama SPRM anjuran Kementerian Pembangunan Infrastruktur serta Program Pengenalan Organisasi kepada Pegawai Lantikan JANS.

Selaras arahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), JANS telah menubuhkan Jawatankuasa Antirasuah (JAR) serta membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi memperkukuhkan tadbir urus serta mengenalpasti dan menutup ruang dan peluang rasuah yang terdapat di dalam JANS.

Penambahbaikan yang dilaksanakan itu merupakan langkah awal dalam mencapai hasrat jabatan berkenaan iaitu mewujudkan Suruhanjaya Air Negeri Sabah yang terdiri daripada JANS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di mana ia bertanggungjawab kepada Badan-Badan Berkuasa Air di Sabah.

JANS menyatakan harapan agar dengan pelaksanaan pengkoporatan ke atas Suruhanjaya Air Negeri Sabah ini dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih telus memandangkan ia akan melalui pengauditan serta pelaporan di setiap sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tindakan penambahbaikan oleh JANS berdasarkan cadangan dari BPMP dalam aspek amalan, sistem dan tatacara kerja dapat mengurangkan risiko berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan di samping memastikan perlaksanaan perolehan penyelenggaraan infrastruktur air dilaksanakan lebih jelas dan telus. Sudah pasti, mekanisme semak dan imbang yang diwujudkan mampu memastikan segala polisi, peraturan dan prosedur sentiasa dalam tahap pematuhan yang terbaik.

Walaupun kes skandal JANS tersebut telah berlaku empat tahun lalu, tugas SPRM tidak terhenti setakat itu sahaja. Suruhanjaya ini masih meneruskan tanggungjawab dalam memastikan budaya rasuah dapat dibanteras di setiap peringkat. Ingin ditegaskan, SPRM bukan sahaja badan yang ‘popular’ dengan tangkapan dan sitaan semata-mata. Hakikatnya, SPRM akan terus membantu mana-mana golongan, syarikat, jabatan mahupun agensi dalam memberikan penambahbaikan serta pendidikan supaya perlakuan rasuah mampu dihentikan dengan kerjasama semua pihak.

Peranan SPRM khususnya BPMP dalam menyelesaikan skandal air Sabah ini mampu menjadi ‘akar umbi’ yang kuat kepada JANS dalam mengekang jenayah rasuah daripada terus berleluasa. Dengan keseriusan pengurusan tertinggi sekarang dan sokongan padu seluruh warganya dalam memerangi rasuah, sudah pasti sejarah hitam yang pernah membelenggu jabatan tersebut tidak akan berulang lagi.