Berita Terkini

KSN Mempengerusikan Mesyuarat JAR Secara Maya

Putrajaya, 6 Feb. – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatan Kuasa Anti-Rasuah (JAR) Peringkat Kebangsaan Siri 5 Bil 1 Tahun 2021 secara maya di Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Mesyuarat yang mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diadakan dengan penglibatan semua ahli iaitu Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) seluruh negara.

Dalam Perutusan Pengerusi semasa membuka mesyuarat, Tan Sri Mohd Zuki berkata Mesyuarat JAR adalah mekanisme terbaik bagi menangani isu integriti dan antirasuah perkhidmatan awam dalam memastikan agenda Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dilaksanakan dengan penuh komited.

“Elemen integriti dan antirasuah perlu dititikberatkan dalam semua urusan di pelbagai lapisan, bukan sahaja di peringkat bawahan bahkan juga di peringkat pertengahan dan atasan,” ujar beliau.

Dalam mesyuarat tersebut juga, beliau memohon agar anggota perkhidmatan awam dapat berkhidmat dengan penuh amanah, tidak menimbulkan masalah, menjalani kehidupan dengan bermaruah serta tidak mengamalkan rasuah.

Antara isu utama yang dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan adalah berkaitan pelaksanaan kursus integriti melibatkan KSU, SUK dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC; larangan penglibatan Pegawai Unit Integriti (UI) dalam mesyuarat berkaitan dana & perolehan; semakan peraturan sewaan premis kerajaan sebagai hasil Kelab Sukan & Rekreasi dan PUSPANITA; serta isu pencemaran sungai.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam, Dato' Nor Azmi Karim.

Hit : 2854